Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Negara Brunei Darussalam, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan dan Industri, Singapura, Dr Beh Swan Gin telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pegawai-pegawai Kanan (JCSOM) ketiga di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang berlangsung di J Hotel Brunei kelmarin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, menyatakan bahawa Dr Hajah May Fa’ezah dalam ucapan pembukaannya mengambil maklum bahawa nama bagi platform berkenaan telah diubah daripada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pegawai-pegawai Kanan (JCSOM), yang mencerminkan cita-cita dan dedikasi berkembang untuk mendalami penglibatan di antara kedua-dua buah negara di peringkat lebih strategik.
Ia juga mengetengahkan pentingnya platform berkenaan sebagai sebuah mekanisme utama untuk mendalami kolaborasi merentasi pelbagai sektor utama khususnya sekuriti makanan, penjagaan kesihatan, tenaga rendah karbon dan ekonomi hijau seperti yang ditubuhkan di bawah dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu, Mengukuhkan Kerjasama Pelaburan dan Perdagangan dalam Produk Perubatan dan juga Makanan serta Kerjasama dalam Tenaga dan Ekonomi Hijau.
Mesyuarat berkenaan mengambil maklum perkembangan sejak mesyuarat JCM kedua yang terdahulu diadakan di Singapura pada Ogos 2024 serta membincangkan lanjut perkara-perkara yang diterajui oleh kumpulan-kumpulan kerja dalam bidang-bidang keutamaan.
Pada mesyuarat berkenaan, Dr Hajah May Fa’ezah menekankan lagi pentingnya kedayatahanan dan inovasi bagi terus mampu lebih kompetitif serta mampu menyesuaikan diri serta menyeru bagi pelaksanaan tertumpu, penyampaian tepat pada masanya dan hasil yang boleh diukur.
JCSOM ketiga juga diadakan sebagai pendahuluan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri-menteri yang akan bersidang pada lewat tahun nanti, untuk meningkatkan kerjasama strategik, mengukuhkan penyelarasan institusi dan memacu hasil yang berkesan.
Mesyuarat itu juga turut dihadiri oleh para setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai kanan kerajaan lain dan wakil daripada Brunei dan Singapura selaku ahli-ahli Jawatankuasa dan Kumpulan-kumpulan Kerja.
Semua di atas: Antara suasana semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN MOFE