Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Pemimpin dan perwakilan institusi pengajian tinggi Islam Asia yang bergabung dalam Persatuan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA) berhimpun di Islamic University of Maldives (IUM), baru-baru ini, bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-14.
Mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada mesyuarat itu ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga merupakan Timbalan Presiden AIUA bagi penggal 2022 hingga 2024.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, antara agenda utama mesyuarat adalah pemilihan tampuk kepimpinan tertinggi AIUA setelah tempoh pelantikan penggal sebelumnya tamat pada tahun ini serta merangka pelan aktiviti persatuan.
Mesyuarat juga membincangkan laporan dan aktiviti tahunan termasuklah laporan kewangan, mobiliti pelajar dan lawatan ilmiah serta penerbitan jurnal.
AIUA yang dianggotai oleh lebih 80 buah universiti Islam di rantau Asia merupakan persatuan yang dihasratkan untuk mengukuhkan dan memperkasa institusi Islam dengan mengadakan jaringan kerjasama dalam pelbagai program.

Semangat setiakawan antara pemimpin pusat-pusat ilmu pendidikan tinggi itu telah memudahkan jalinan sinergi dilaksanakan dan menjadi jambatan untuk sama-sama menaik taraf kedudukan pengajian tinggi Islam.
Pada pertemuan tersebut juga, UNISSA telah memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) bersama IUM.
Mengiring Mesyuarat Agung Tahunan ialah seminar antarabangsa yang diadakan pada sebelah pagi dan dirasmikan oleh Menteri Perikanan dan Sumber-sumber Lautan Maldives, Tuan Yang Terutama Ahmad Siyam.
Pertemuan ilmu itu membawakan dua sub-tema di mana pada sesi pertama telah membincangkan mengenai Leadership for Inclusion in Higher Education and Catering for Disadvantage Groups of Students, dan sesi kedua pula mengangkat sub-tema Adapting Curriculum, Pedagogy and Assessment for Inclusion in Higher Education.
Rektor UNISSA juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Hal Ehwal Ugama Maldives, Tuan Yang Terutama Dr Muhammad Shaheem Ali Saeed, bagi membincangkan program-program pembangunan sumber tenaga manusia dan penghantaran pelajar Maldives ke UNISSA.

