Mesyuarat maya pertama menteri-menteri perdagangan APEC Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat digital pertama Menteri-menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, Mesyuarat Maya Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT) itu sepatutnya diadakan di sini pada April lepas namun terpaksa ditunda berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Mesyuarat yang akan disertai oleh menteri-menteri perdagangan dari kesemua 21 ekonomi APEC itu bertujuan mewujudkan persetujuan bersama bagi inisiatif-inisiatif konkrit oleh ekonomi terbabit dalam menangani cabaran akibat pandemik COVID-19 selain mempercepatkan rantau ini mencatat pemulihan ekonomi.

“Inilah teras bagi merealisasikan pelan-pelan strategik yang akan membawa kepada pelaksanaan tindakan konkrit bagi melindungi daya tahan sosioekonomi komuniti APEC bagi tempoh pasca-COVID-19,” kata MITI.

Pada mesyuarat itu, beliau akan mengetuai perbincangan membabitkan langkah-langkah susulan serta cadangan oleh semua ekonomi berkenaan sebagaimana digariskan dalam Kenyataan MRT Mengenai COVID-19 pada 5 Mei lepas. – Bernama