Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat menteri perkukuh penjagaan kesihatan ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS –  Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-16 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan telah bersidang di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao pada 8 sehingga 9 Ogos lalu.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam di mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, Negara Brunei Darussalam. Turut menyertai pada mesyuarat itu, Setiausaha Tetap Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham dalam kenyataannya menekankan keperluan untuk ASEAN bagi memperkukuhkan sistem kesihatan masing-masing di dalam menangani kecemasan kesihatan.

    Ini memerlukan antara lain, sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik dengan pekerja kesihatan yang terlatih dan bermotivasi, infrastruktur yang diselenggarakan dengan baik dan bekalan ubat-ubatan dan teknologi yang boleh dipercayai.

    Selain itu, Negara-negara ASEAN juga perlu mengukuhkan institusi dan mekanisma serantau untuk menerima manfaat yang diperlukan dan yang memudahkan tindak balas yang perlu diterajui oleh setiap negara.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyeru supaya kerjasama ASEAN dalam pembangunan kesihatan harus melibatkan sektor-sektor lain contohnya sektor haiwan dan alam sekitar sesuai dengan Pelan Tindakan Bersama ASEAN One Health.

    Di samping bekerjasama dengan sektor ekonomi untuk mengukuhkan rantaian bekalan, mempelbagaikan kaedah pengeluaran ubat-ubatan penting dan bekerja dengan perkhidmatan kecemasan seperti pusat AHA, untuk memberi bantuan kepada negara ASEAN yang memerlukan.

    Mesyuarat berkenaan yang bermula pada 8 Ogos didahului dengan satu sidang pemukiman Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang membawa tema Membayangkan dan Menetapkan Kepentingan Kesihatan untuk Pasca ASEAN 2025.

    Pada sidang itu, Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN telah bertukar-tukar pendapat dan pencapaian serta cabaran-cabaran yang dialami di rantau ASEAN serta memberikan rekomendasi serta hala tuju bagi sektor kesihatan ASEAN pasca 2025.

    Dengan tema Transformasi Pembangunan Kesihatan ASEAN yang Berdaya tahan dalam Konteks Baharu’, mesyuarat berkenaan menumpukan topik perbincangan kepada memperkukuh Kapasiti Sistem Kesihatan Pasca Pandemik untuk Meningkatkan Daya Tahan Serantau.

    Pada mesyuarat itu, Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN juga telah bersepakat untuk meluluskan kenyataan bersama untuk lagi kapasiti sistem kesihatan pasca pandemik ASEAN dan meningkatkan daya tahan serantau terhadap ancaman pandemik melalui peningkatan dan penyelarasan kerjasama merentas sektor termasuk dengan rakan kongsi luar.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga pada mesyuarat itu telah mengadakan mesyuarat sampingan tidak rasmi bersama Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dalam mempertingkatkan kerjasama di antara WHO dan ASEAN khususnya dari segi kesihatan dan kesejahteraan.

    Selain itu, Mesyuarat Kali Ke-2 Menteri-Menteri Kewangan dan Kesihatan ASEAN juga telah bersidang secara hybrid, dan turut hadir secara atas talian, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina Binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi II, mewakili Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    Mesyuarat berkenaan bertemakan Laluan ASEAN ke Kerjasama Kesihatan dan Kewangan untuk Ketahanan Sistem Kesihatan Mampan telah membincangkan kerjasama di antara sektor kesihatan dan kewangan di mana mesyuarat telah bersetuju bagi mengeluarkan satu kenyataan bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Kesihatan ASEAN ke-2.

    Mesyuarat berkenaan juga telah disusuli dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Kali Ke-10, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Rakyat China Kali Ke-9, Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Korea, dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dengan Amerika Syarikat.

    Atas & Bawah: Semasa perjumpaan YB Menteri Kesihatan dengan YB Dr. Bounfeng Phoummalaysith, Menteri Kesihatan, Republik Demokratik Rakyat Lao.

    Semasa di Republik Demokratik Lao, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkesempatan mengadakan perbincangan bersama Yang Berhormat Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Singapura dan Yang Berhormat Dr. Bounfeng Phoummalaysith, Menteri Kesihatan, Republik Demokratik Rakyat Lao. Perbincangan itu adalah untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan di negara masing-masing serta meninjau peluang kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua-dua buah negara.

    Gambar ramai menteri-menteri kesihatan yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda