BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi tahun ini akan berlangsung pada 5 Mac di Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, hari ini, istiadat pembukaan rasmi berkenaan akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
MMN Musim ke-14 ini akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dengan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.
Persidangan MMN pada tahun ini akan memasuki usia 14 tahun bersidang sejak ia ditubuhkan semula pada tahun 2004. Ahli-ahli MMN terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah.
Menurut kenyataan itu lagi, persidangan pada tahun ini akan melihat ramai ahli-ahli MMN yang baharu dalam kalangan ahli rasmi kerana jawatan iaitu menteri-menteri yang baharu dilantik pada 30 Januari 2018.
Kenyataan menambah, pada tahun ini, persidangan antaranya akan membincangkan perkara utama iaitu Rang Undang-undang Perbekalan Bagi Tahun Kewangan 2018/2019 bagi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan Negara Brunei Darussalam.
MMN bersidang setiap tahun bagi membincangkan perkara-perkara dan isu yang berkepentingan dan mustahak bagi kesejahteraan negara, rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam. Persidangan tahunan ini juga merupakan sebuah ‘platform’ bagi rakyat dan penduduk di negara ini untuk menyuarakan pendapat dan masalah-masalah melalui ahli-ahli yang dilantik secara bermuzakarah dan bersandarkan kepada nilai-nilai konsep Melayu Islam Beraja (MIB) agar dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan rakyat dan kerajaan.
MMN telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24. Majlis MMN telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, majlis ini telah mula bersidang semula, yang mana penubuhannya adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.
Seperti tahun-tahun sebelumnya jua, sesi persidangan akan diadakan selepas istiadat pembukaan rasmi atau pada hari serta waktu yang ditetapkan oleh Yang Di-Pertua MMN.
Sesi Persidangan MMN ini adalah terbuka kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut atau mahasiswa dan mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan dengan ini, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri sesi persidangan berkenaan diminta untuk mematuhi beberapa peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan Majlis termasuklah peraturan-peraturan semasa di dalam Dewan Persidangan MMN.
Pada lazimnya, sesi Per-sidangan MMN dibahagikan kepada sesi pagi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang dari 2 petang hingga 4:30 petang.