Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Mesyuarat Majlis Perundingan Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor, Mukim Mentiri kali ke-5, Siri 01/2025 telah diadakan di kediaman Ketua Kampung Kawasan 4 baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Kampung Kawasan 4, Faidil Rosemady bin Mohamad yang antara lain telah membincangkan perancangan aktiviti sepanjang tahun 2025 dan seterusnya penubuhan belia-beliawanis berserumpun kawasan 4 dan beberapa hal-hal yang lain.
Selain mengongsikan beberapa aktiviti yang dirancang seperti Majlis Tahlil dan Doa Tahlil Berserumpun diselajurkan penyampaian derma anak-anak yatim bersempena Bersungkai di bulan Ramadhan, Majlis Ibadah Korban/Aqiqah Berserumpun dan Program lawatan-lawatan bersama Pencinta Yatim & Belia-beliawanis Berserumpun Kawasan 4.
Beliau turut mengongsikan kejayaan aktiviti yang telah diadakan sepanjang tahun 2024 yang antaranya program keugamaan, riadah, perekonomian, kebajikan masyarakat di kampung khusus bagi Kawasan 4.
Beliau juga berharap majlis perundingan kawasan berkenaan terus maju dan bersatu hati dengan warga penduduk kampung khusus kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri, di bawah tema MPK 3B Berserumpun, Bersepakat Membawa Berkat’.