Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Mesyuarat Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN (MTWG) ke-47 yang berlangsung selama dua hari di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, bermula hari ini.
Mesyuarat itu menandakan satu langkah penting dalam usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam pembangunan sektor maritim selaras dengan matlamat ASEAN ke arah ketersambungan dan integrasi ekonomi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan keyakinannya bahawa mesyuarat kali ini akan terus mempertingkatkan kerjasama maritim di peringkat serantau, menyumbang kepada pelaksanaan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta memperkukuhkan rangkaian logistik, memudahkan perdagangan, dan mempromosikan pelancongan serantau.
Beliau juga menegaskan keperluan menangani cabaran perubahan iklim serta transformasi digital dalam sektor maritim dan menyeru kerjasama erat di antara negara-negara anggota ASEAN untuk memastikan keselamatan, kemampanan dan daya tahan sektor maritim rantau ini.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Kapten (B) Awang Zil Husam bin Haji Abdul Rahman, turut menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menyatakan komitmen Brunei Darussalam dalam menyokong peningkatan kesalinghubungan maritim serta pembangunan mampan di ASEAN.
Beliau juga memuji sumbangan sektor swasta dan persatuan industri pengangkutan dalam memperkukuhkan sektor maritim serantau.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Penolong Ketua Eksekutif PBMP, Dayang Salmaya Rahayu binti Salleh, yang turut mengalu-alukan delegasi negara-negara anggota ASEAN, rakan dialog, serta wakil dari Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Antara perbincangan utama adalah strategi pembangunan pengangkutan maritim yang mampan, kerjasama sektor swasta, serta inisiatif bagi mengoptimumkan operasi pelabuhan dan meningkatkan keselamatan maritim.
Mesyuarat tersebut turut meluluskan Pelan Tindakan Pengangkutan ASEAN 2026-2030, yang akan memacu pembangunan sistem pengangkutan maritim yang lebih mampan, selamat, dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang, selaras dengan keperluan pertumbuhan ekonomi serantau.
Negara Brunei Darussalam akan menerajui MTWG sehingga 2026 sebelum jawatan pengerusi diserahkan kepada Kemboja.
Mesyuarat tersebut akan diteruskan dengan Bengkel ASEAN – Amerika Syarikat mengenai Membangun Pelabuhan Mampan melalui Polisi, Perancangan, Perkongsian dan Inovasi, yang akan berlangsung dari 19 hingga 20 September.