Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat nilai kemajuan pencapaian ekonomi serantau

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) berjaya menamatkan Mesyuarat ASEAN-BAC ke-103 dan Sua Muka Pemimpin ASEAN dan ASEAN-BAC, yang diadakan pada 24, 25, 26 dan 29 Mei.

    Mesyuarat tersebut berlangsung di Awana Resort, Genting Highland, Pahang dan Kuala Lumpur, di bawah kepengerusian ASEAN-BAC Malaysia.

    Mesyuarat ASEAN-BAC ke-103, yang dihoskan di Awana Resort, Genting Highland itu telah mengumpulkan ahli majlis dari semua 10 negara anggota ASEAN untuk menilai kemajuan dalam pencapaian ekonomi serantau dan inisiatif utama. Perbincangan tertumpu pada tema strategik utama seperti transformasi digital, kemampanan, keselamatan makanan, pemerkasaan perusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan kemudahan perdagangan.

    Majlis itu juga menyaksikan sesi bertukar-tukar pandangan mengenai landskap geopolitik yang berterusan dan gangguan perdagangan global, menekankan kepentingan mengekalkan pemusatan ASEAN dan meningkatkan daya tahan ekonomi serantau dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.

    Sementara itu, sorotan utama dalam Sua Muka Pemimpin ASEAN dan ASEAN-BAC, yang diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China itu telah menyaksikan ahli majlis membentangkan maklumat terkini dan cadangan dasar yang disatukan kepada pemimpin ASEAN, mengesahkan komitmen sektor swasta untuk memajukan integrasi ekonomi dan matlamat pembangunan ASEAN selepas 2025.

    Semasa Mesyuarat ASEAN-BAC ke-103, Pengerusi ASEAN-BAC Brunei Darussalam, Awang Musa bin Adnin memaklumkan bahawa Persidangan Perniagaan Brunei (BBC) akan diadakan di Bandar Seri Begawan pada 1 Julai 2025. Beliau menyampaikan jemputan terbuka kepada semua negara anggota ASEAN-BAC untuk mengambil bahagian dan merakamkan penghargaan atas sokongan Tan Sri Nazir dan pasukannya.

    Majlis itu juga mengkaji persediaan untuk Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) dan Anugerah Perniagaan ASEAN (ABA) 2025 yang akan datang, yang akan berfungsi sebagai platform utama untuk menghubungkan ASEAN dengan pemimpin perniagaan global dan penggubal dasar.

    ASEAN-BAC menyampaikan ucapan terima kasih yang tulus kepada ASEAN-BAC Malaysia dan kerajaan Malaysia atas pengaturan yang sangat baik dan layanan mesra mereka sepanjang mesyuarat.

    Pemimpin-pemimpin ASEAN dan ahli-ahli ASEAN-BAC semasa Sua Muka Pemimpin ASEAN di KLCC, Kuala Lumpur. – GAMBAR SERAHAN ASEAN-BAC BRUNEI
    Ahli-ahli Majlis di Mesyuarat ASEAN-BAC ke-103, Awana Resort, Genting Highland, Pahang, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN ASEAN-BAC BRUNEI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda