Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Operasi Pengaman Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus EWG on PKO) ke-19 telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Ketua Pusat Doktrin dan Perperangan Bersama, Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd Said dan Pegawai Kanan Pengaman 13, Jabatan Staf Bersama, Tentera Pembebasan Rakyat China, Kolonel Kanan Zhang Qilin.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Marina binti Abdullah Sitau berserta perwakilan dari kedua-dua negara iaitu Negara Brunei Darussalam dan Tentera Pembebasan Rakyat China.
Mesyuarat telah dihadiri oleh seramai 67 orang peserta yang terdiri daripada perwakilan negara-negara ASEAN Plus, Sekretariat ASEAN, Jabatan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsaa Bersatu (PBB) serta wakil daripada Republik Demokratik Timor-Leste sebagai negara pemerhati.
Mesyuarat dimulakan dengan perkongsian laporan Kumpulan Kerja Pakar Operasi Pengaman ADMM-Plus daripada Pengerusi Bersama yang mengetengahkan beberapa aktiviti di sepanjang suku pertama kitaran kelima, 2024-2027.
Mesyuarat itu merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang di bawah pelan kerja kitaran kelima Kumpulan Kerja Pakar Operasi Pengaman ADMM-Plus yang membawa tema Cabaran Semasa dan Perkembangan Masa Hadapan Operasi Keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.