BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Pertubuhan Bola sepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM) telah mengadakan Mesyuarat Pertama bagi Sesi 2025–2028 yang berlangsung di sebuah restoran di Kampung Batu Bersurat baru-baru ini.
Hadir di mesyuarat berkenaan ialah Yang Dipertua PBDBM, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim; Naib Yang Dipertua, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi; Setiausaha Agung, Adiwan bin Haji Sabtu; Setiausaha Perlawanan, Waqiuddin Abd Haq bin Haji Abdul Razak; dan Bendahari Kehormat, Abang Haji Noor Hadzmi bin Abang Haji Taha.
Turut hadir selaku ahli biasa ialah Najip bin Haji Moktal, Mohammad Khairul Hazmi bin Mohammad Ali, Haji Waliuddin bin Awang Haji Besar, Fendi Bohary bin Haji Bujang, Ahmad Waie bin Haji Abdul Razak dan Abd Rahim bin Haji Sharbini.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Naib Yang Dipertua PBDBM, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PBDBM.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan kepada semua ahli untuk hadir membincangkan agenda mesyuarat, di samping merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama serta komitmen ahli-ahli dalam usaha memajukan sukan bola sepak di Daerah Brunei dan Muara.
Menurut Naib Yang Dipertua PBDBM, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, PBDBM akan terus aktif melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk bola pantai, bola sepak serta penyampaian surat pelantikan kepada ahli-ahli baharu dalam tahun ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara akan dianjurkan selepas perancangan bagi pendaftaran pasukan diterima daripada kelab-kelab yang berdaftar sah dengan Pendaftar Pertubuhan, termasuk pasukan dari Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung, dengan penyertaan dijangka dibuka pada awal November 2025.
Sementara itu, Karnival Bolasepak Bawah Umur 12 Tahun bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2014 dan ke atas akan diadakan pada awal Januari 2026.
Mesyuarat berkenaan diakhiri dengan bacaan Surah Al-Asr secara beramai-ramai oleh ahli-ahli PBDBM.
Semua di atas: Antara suasana semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PBDBM

