Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China bahas isu Laut China Selatan

    KUCHING, 13 OGOS – Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China mengenai Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) yang dijadualkan berlangsung esok turut menjadi platform penting untuk memperhebat rundingan memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di kawasan perairan itu.

    Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, berkata fokus utama mesyuarat adalah memastikan semua pihak terus menghormati prinsip-prinsip yang telah dipersetujui di bawah DOC, yang menjadi asas kepada hubungan baik di rantau ini.

    “Selain itu, mesyuarat juga akan memperhebat rundingan bagi memuktamadkan COC di Laut China Selatan dengan sasaran untuk menyelesaikannya pada atau sebelum Julai 2026.

    “Kita perlu meningkatkan lagi usaha rundingan secara agresif dan aktif agar draf COC ini dapat dimuktamadkan mengikut jadual,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

    Beliau berkata mesyuarat itu, yang menghimpunkan para pegawai kanan negara anggota ASEAN dan China, juga adalah antara usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama serantau.

    “Perbincangan akan memberi tumpuan kepada langkah menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

    “Laut China Selatan semakin menjadi tumpuan antarabangsa, bukan sahaja bagi ASEAN dan China malah negara-negara di luar rantau ini,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menerima kunjungan hormat Datuk Seri Amran Mohamed Zin (kiri) di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi di Petra Jaya, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda