Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat perkukuh dasar persaingan ASEAN

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Dengan matlamat untuk membincangkan kemajuan dan perkembangan kerjasama serantau dalam dasar persaingan dan undang-undang persaingan ASEAN, ketua-ketua agensi pihak berkuasa persaingan ASEAN telah mengadakan mesyuarat secara dalam talian, baru-baru ini.

    Menerusi mesyuarat berkenaan, ketua-ketua agensi mengambil maklum mengenai penyiapan Mid-Term Review of the ASEAN Competition Action Plan 2025 pada tahun ini, perkembangan pelaksanaan ASEAN Experts Group on Competition (AEGC) Key Deliverables for 2021 yang merupakan pengemaskinian peta jalan pembangunan kapasiti serantau ASEAN 2021-2025 dan perkembangan cadangan-cadangan mengenai substantif dan standard prosedur dalam dasar persaingan dan penguatkuasaan undang-undang bagi ASEAN.

    Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Indonesia dan Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Agensi ASEAN, Kodrat Wibowo menjelaskan tema AEGC yang dipegerusikan Indonesia adalah tentang melindungi dasar persaingan untuk pemulihan ekonomi yang mana COVID-19 telah membawa cabaran dan gangguan yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada jutaan nyawa di seluruh dunia, termasuk rantau ASEAN.

    Tambahnya, ASEAN masih bergelut dengan perbezaan dalam kerangka dan prosedur undang-undang, terutama dalam pertukaran maklumat dan menekankan kepentingan pembangunan garis panduan perkongsian kes-kes penggabungan dan penubuhan portal maklumat ASEAN mengenai kes penggabungan.

    Hal ini, ujarnya, berfungsi sebagai langkah awal untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan persaingan, untuk menangani transaksi komersial rentas sempadan dengan berkesan.

    Mesyuarat selanjutnya mengambil maklum mengenai kemajuan pembangunan Manual Siasatan ASEAN mengenai Dasar dan Undang-undang Persaingan bagi Ekonomi Digital, yang merupakan Key Deliverables AEGC tahunan bagi 2022.

    Ketua-ketua agensi juga mempertimbangkan pelaksanaan Pelan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN dan inisiatif-inisiatif persaingan di bawah Pelan Kerja ASEAN bagi Pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai e-Dagang.

    Selepas mesyuarat itu, Indonesia turut membentangkan hasil Kajian terhadap Impak Pandemik COVID-19 dan Pemulihan Ekonomi ke atas Undang-undang dan Dasar Persaingan yang dilaksananya.

    Kodrat Wibowo menyatakan bahawa tujuan utama kajian itu adalah menetapkan komitmen ASEAN untuk menyumbang lebih banyak bagi pemulihan ekonomi, dan untuk menyoroti peranan dan kepentingan pentingnya dasar dan undang-undang persaingan terhadap pemulihan ekonomi. Dalam pada itu, kajian berkenaan turut menetapkan cadangan untuk pertimbangan pihak berkuasa persaingan ASEAN.

    Manakala itu, Kemboja pula mengemas kini perkembangan dalam penguatkuasaan undang-undang persaingannya, yang bakal diumumkan sebelum akhir tahun ini. Ketua-ketua agensi berkenaan mengucapkan tahniah kepada Kamboja atas pencapaiannya, menjadi negara anggota ASEAN terakhir yang membuat undang-undang persaingan dan memperkuat sokongannya terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut.

    Ketua-ketua agensi pihak berkuasa persaingan ASEAN yang menghadiri mesyuarat secara dalam talian berkenaan, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda