Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-88 (COSTI-88) serta mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan, yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 19 hingga 24 Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat-mesyuarat berkenaan diketuai oleh Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Delegasi turut disertai oleh pegawai-pegawai dan wakil-wakil dari MTIC, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Mesyuarat COSTI-88 dipengerusikan oleh Deputi Bidang Kebajikan Riset dan Inovasi, BRIN Indonesia, Dr Boediastoeti Ontowirjo, di mana mesyuarat bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serta menggalakkan daya saing serantau dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) di ASEAN.
Antara hasil utama yang dicapai sepanjang Mesyuarat COSTI-88 ialah perbincangan mengenai perkembangan terkini serta menilai status pencapaian Priority Economic Deliverable (PED) 2025 iaitu ASEAN Technology Startup Ignite dengan objektif untuk meningkatkan inovasi berasaskan teknologi dan keusahawanan di seluruh rantau ASEAN.


Inisiatif yang telah berjaya dilaksanakan ialah pelancaran rasmi Startup ASEAN Platform pada 25 Jun dan Hackathons/Pitch Competition/ Startup Accelerator pada 30 Julai lalu.
Manakala projek-projek di bawah Keutamaan Tahunan 2025 telah mencapai objektif projek masing-masing di mana projek-projek berkenaan adalah memperkukuhkan ASEAN Research Cooperation on Nuclear Safety and Risk Assessment and Management, penglibatan ASEAN Talent Mobility (ATM), meningkatkan keselamatan bateri dalam membolehkan peralihan tenaga dalam ASEAN menerusi ASEAN Battery Safety Network serta membina ASEAN High Performance Computing Infrastructure for Enabling Research in Advanced Computing.
Berhubung dengan itu, projek ASEAN Journal on Science and Technology for Development (AJSTD) yang diterajui oleh Negara Brunei Darussalam telah berjaya mencapai objektifnya dalam memajukan analisis akademik di ASEAN melalui teknologi AI serta memperkukuh penerbitan saintifik serantau.
Mesyuarat COSTI-88 juga telah meluluskan penstrukturan semula jawatankuasa kecil di bawah COSTI bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuh pelaksanaan program serta mengoptimumkan penggunaan sumber dalam agenda sains, teknologi dan inovasi serantau.
Penstrukturan itu akan berkuat kuasa pada Januari 2026 dan melibatkan pengurangan jawatankuasa kecil daripada sembilan kepada lima melalui penggabungan.
Selepas Mesyuarat COSTI-88, Mesyuarat Konsultasi Sains dan Teknologi AS ke-13 (AUSCST-13), Mesyuarat Kumpulan Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi ke-12 (ARWGSTI-12) dan Mesyuarat Dialog Sains, Tekonologi dan Inovasi ke-2 (AUKDSTI-2) telah diadakan.
Mesyuarat-mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perkembangan kerjasama sains, teknologi dan inovasi antara ASEAN dengan rakan-rakan dialognya, iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom.
Turut diadakan ialah Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories Research Institutes-ASEAN-US Science Prize for Women 2025, dengan tema pertandingan menekankan Generative AI For Smart Water Management.
Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Penolong Profesor Kanan dari UTB, Dr Hajah Wida Susanty binti Haji Suhaili telah memenangi Kategori Saintis Kanan dengan tajuk Smart Water Management Systems Using IOT in Disaster Management and Food Security in Brunei Darussalam.
Selain itu, turut diadakan pertemuan dua hala secara berasingan antara MTIC dengan Agensi Sains, Teknologi dan Kajian (A*STAR) Singapura serta dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia.

