Monday, November 25, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat perkukuh kerjasama BIMP-EAGA

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Mesyuarat BIMP-EAGA Trade Facilitation Cluster (TFC) kali ke-2 telah diadakan pada 18 hingga 19 September lalu di Hotel Centrepoint, Gadong, Bandar Seri Begawan.

    Hadir merasmikan mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim dan dipengerusikan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Malaysia, Sabah, Datuk Noor Alam Khan bin A. Wahid Khan.

    Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk hasil dan rekomendasi daripada mesyuarat-mesyuarat tertinggi BIMP-EAGA seperti Sidang Kemuncak BIMP-EAGA kali ke-15, Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA kali ke-26 dan Mesyuarat Perancangan Strategik BIMP-EAGA 2024, selain membincangkan perkembangan inisiatif BIMP-EAGA bersama rakan pembangunan.

    Di samping itu, mesyuarat juga membincangkan laporan-laporan kumpulan-kumpulan kerja CIQS mengenai perkembangan projek-projek di bawah bidang masing-masing dan seterusnya perkembangan terkini ke atas Kajian Koridor Ekonomi dan IMT-GT Blue Economy Strategy 2030.

    Turut hadir pada mesyuarat itu ialah pegawai-pegawai kanan bagi kumpulan-kumpulan kerja kastam, imigresen, kuarantin dan sekuriti (CIQS) dari negara-negara ahli BIMP-EAGA, serta perwakilan-perwakilan daripada BIMP-EAGA Facilitation Centre (BIMP-FC), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC).

    Republik Indonesia akan menjadi tuan rumah seterusnya bagi Mesyuarat BIMP-EAGA TFC kali ke-3 yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

    Awang Muhammad Azizil Hakim semasa menyampaikan ucapannya pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para perwakilan Mesyuarat BIMP-EAGA TFC ke-2. – GAMBAR SERAHAN MOFE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda