Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat perkukuh kerjasama pelbagai bidang

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam-Oman ke-3 telah diadakan di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, dan Timbalan Setiausaha, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Promosi Pelaburan untuk Perdagangan dan Perindustrian Kesultanan Oman, Dr Saleh bin Saeed Al-Masn.

    Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pihak merujuk kepada hubungan erat dan mesra yang telah lama terjalin di peringkat tertinggi dan antara kerajaan serta sektor swasta kedua-dua buah negara.

    Memandangkan Negara Brunei Darussalam dan Oman berusaha ke arah mencapai sasaran wawasan negara masing-masing, iaitu Wawasan Brunei 2035 dan Wawasan Oman 2040, mesyuarat itu memperakui potensi untuk bekerjasama dalam bidang yang akan meningkatkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala untuk manfaat bersama.

    Perbincangan kemudiannya tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertanian dan perikanan, makanan, hiliran dan pelancongan.

    Sebagai sebahagian daripada program rasmi, Dr Saleh dan delegasi Oman yang lain telah melawat ke Golden Corporation Sdn Bhd dan kemudahan pemprosesan makanan laut syarikat itu.

    Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmad bin Hashil Al-Maskari, serta wakil-wakil lain dari Oman termasuk dari Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta Penggalakan Pelaburan, Kementerian Pertanian, Perikanan Kekayaan dan Sumber Air, Kementerian Warisan dan Pelancongan, The Public Establishment for Industrial Estates (Madayn) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Oman.

    Turut hadir ialah pegawai dari pelbagai agensi dan entiti kerajaan di Negara Brunei Darussalam termasuk Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

    Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam-Oman, yang ditubuhkan pada 2010, bertujuan untuk membangun dan menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua negara serta antara sektor swasta dan perniagaannya.

    Dr Hajah May Fa’ezah bergambar bersama Dr Saleh semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam-Oman ke-3 di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda