BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Penubuhan Jawatankuasa Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 60 Tahun Menaiki Takhta Tahun 2027.
Mesyuarat yang berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu turut dipengerusikan bersama oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha tetap di JPM, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, serta timbalan setiausaha tetap di JPM.
Dalam sabda alu-aluannya, Yang Amat Mulia Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Sektoral atas pelantikan mereka. Yang Amat mulia turut menzahirkan keyakinan terhadap kepakaran serta pengalaman setiap ahli dalam menjayakan sambutan bersejarah itu dengan penuh kesempurnaan.
Yang Amat Mulia Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara juga menyatakan harapan agar pengalaman daripada pengendalian Istiadat Perkahwinan Diraja pada tahun 2024 dapat dijadikan asas untuk memperkukuh tadbir urus serta pelaksanaan Sambutan Jubli Intan kelak.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti sesi penerangan mengenai struktur dan keahlian Jawatankuasa Tertinggi serta Jawatankuasa Sektoral, termasuk perbincangan mengenai keperluan perancangan dan pelan tindakan di bawah jawatankuasa masing-masing.
Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan pada tahun 2027 dijangka menjadi peristiwa bersejarah, di mana rakyat dan penduduk Brunei akan berpeluang untuk bersama-sama meraikan pencapaian Baginda Sultan sebagai raja yang berdaulat, prihatin terhadap kesejahteraan rakyat, serta keamanan negara.

