Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 bagi tahun 2021 telah diadakan hari ini di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abdul Wahab bin Haji Mohd Said, ahli Majlis Mesyuarat Negara, pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, pemangku pegawai daerah, pegawai-pegawai eksekutif daripada sektor swasta dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 tahun.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya Doa Selamat serta ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sebelum mesyuarat berlangsung, taklimat khas mengenai situasi terkini pandemik COVID-19 telah disampaikan oleh Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman.
Mesyuarat itu adalah bagi membincangkan ketetapan tarikh dan format acara-acara utama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75, Upacara Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran dan Istiadat Perbarisan Kehormatan. Mesyuarat turut membincangkan mengenai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di seluruh negara, Majlis Ilmu, penerbitan dan percetakan buku Dirgahayu dan perhiasan bandar seperti pintu-pintu gerbang, lampu-lampu cucul, kain rentang dan vertical banner serta juga acara-acara sampingan.
