Monday, November 18, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat pertama Sambutan Ulang Tahun HK ke-41 berlangsung

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kejayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 menjadi bukti patriotisme dan kesepakatan rakyat Brunei apabila acara yang penuh warna-warni dan kemeriahan berkenaan telah membawa kegembiraan kepada seluruh lapisan masyarakat sambil menonjolkan semangat Melayu Islam Beraja yang menjadi tunjang negara.

    Pendekatan senegara yang digunakan jelas menunjukkan keberkesanannya dan pendekatan itu diyakini akan terus menjadi landasan utama, tekan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad dalam ucapannya di Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, 2025 yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

    Mesyuarat berkenaan turut dipengerusikan bersama dengan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh selaku Pengerusi Bersama.

    Turut sama hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Penasihat Bersama; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi menyatakan kejayaan sambutan itu adalah hasil daripada kesungguhan dan perpaduan semua pihak daripada pelajar sekolah, golongan belia hingga pegawai-pegawai di sektor kerajaan dan swasta.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan rasa syukur atas peluang untuk mengadakan upacara yang sama pada tahun 2025 dan berharap ia dapat menyuntik semangat kenegaraan dan kekitaan bagi rakyat supaya mengekalkan keharmonian, perpaduan dan mengekalkan persefahaman.

    “Apa yang dihasratkan jua adalah penyertaan yang signifikan dalam jumlah peserta khususnya para pelajar dan murid agar dapat menyuntik semangat patriotisme dan ketaatsetiaan dalam golongan generasi baharu.”

    “Ia juga memberikan mereka peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah agar dijadikan sebagai kenangan, ristaan dan kebanggaan mereka.” Ulasnya lagi, “Tidak terkecuali juga penyertaan daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan sebagai tanda bersyukur kita menikmati hidup yang aman damai, sejahtera dan harmoni.”

    Yang Berhormat Dato menyatakan Upacara Perhimpunan Agung nanti akan dilaksanakan dengan format yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya dengan beberapa cadangan pembaharuan.

    Oleh itu, tambahnya, perancangan keraian berkenaan adalah berdasarkan pengalaman yang lalu dengan beberapa penambahbaikan dan menambah nilai baharu supaya perhimpunan itu juga akan menjadi peristiwa yang istimewa dan sentiasa segar dalam ingatan semua lapisan masyarakat.

    Agenda Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025, memfokuskan kepada laporan-laporan perkembangan dan cadangan-cadangan mengenai persiapan yang sedang giat dilaksanakan, cadangan tarikh dan tempat, cadangan logo dan tema serta tarikh-tarikh raptai bagi Upacara dan Acara Utama sambutan.

    Di samping itu, mesyuarat juga membincangkan tatacara pelaksanaan dan jumlah keramaian bagi Upacara Perhimpunan Agung, Majlis Doa Kesyukuran, Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan, Majlis Khatam 41 kali serta acara-acara sampingan yang lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara yang hadir ke mesyuarat berkenaan.

    Sesi gambar ramai semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda