Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku Sekretariat Kebangsaan bagi Tonggak Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) baru-baru ini telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Keempat Kumpulan Kerja Ad-Hoc untuk mewujudkan Pelan Strategik ASCC pasca 2025 pada 28 hingga 29 Mei 2024 bertempat di The Empire Brunei, Jerudong.
Bagi mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku Jawatankuasa Pegawai Kanan untuk ASCC (SOCA).
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Republik Demokratik Rakyat Laos, Khamphou Phiasackha selaku Pengerusi ASEAN 2024; dan Timbalan Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dr Christina Yeo selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam mesyuarat tersebut perbincangan terbuka dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dengan ASCC juga diadakan dan dihadiri oleh pusat-pusat ASEAN serta entiti-entiti berkaitan seperti Pusat Biodiversiti ASEAN, dan Asian Partnership for Development of Human Resources in Rural Asia secara fizikal dan juga secara maya.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi ASCC, Ekkaphab Phanthavong, wakil-wakil dari negara-negara ahli ASEAN termasuk Timor-Leste sebagai negara pemerhati.



