Oleh Sim Y. H. & Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menghoskan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Persatuan Antara Bank China-ASEAN (CAIBA) ke-11 dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Mekanisme Kerjasama Antara Bank ASEAN+3 (APTIBCM) yang berlangsung secara maya, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, mesyuarat yang membawa tema ‘Memperkasa Masa Depan dengan Kemapanan dan Pendigitalan’ itu dihadiri oleh wakil daripada institusi-institusi kewangan dari negara anggota ASEAN serta Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Haji Sofian bin Mohammad Jani, dalam kapasitinya sebagai ahli Lembaga Pengarah BIBD, menyentuh mengenai kedayatahanan institusi perbankan ASEAN, walaupun berhadapan cabaran dan ketidakpastian dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menerusi penubuhan asas modal yang kuat dan pengurusan risiko yang berdisiplin.
“Kedayatahanan ini juga muncul daripada sokongan kuat yang diterima oleh bank-bank daripada kerajaan masing-masing dan bank-bank pusat, yang telah membantu bank-bank menangani impak pandemik.”
Beliau menambah bahawa adalah menggembirakan untuk melihat bank-bank pusat melepaskan jumlah kecairan yang besar ke dalam sistem perbankan menerusi pelbagai kaedah termasuk mengurangkan nisbah keperluan rizab.

Haji Sofian juga mengetengahkan bahawa tema CAIBA dan APTIBCM 2021, ‘Memperkasa Masa Depan dengan Sasaran Kemapanan dan Pendigitalan’, yang melengkapi tema Sidang Kemuncak ASEAN 2021, We Care, We Prepare, We Prosper, dengan pandemik telah mempercepatkan anjakan paradigma dalam ekonomi global, dengan tumpuan khusus kepada transformasi digital dan lebih perbualan sekitar kemapanan.
“Sebagai institusi kewangan Islam terbesar negara, BIBD sentiasa dibimbing oleh Maqasid Shariah yang berkenaan dengan pemuliharaan dan promosi keimanan, kehidupan, minda, progeni dan harta. Prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir korporat (ESG) dan kemapanan adalah berselaras rapat dengan tunggak Maqasid.”
Beliau berkata lagi bahawa daripada segi pendigitalan, BIBD terus menyediakan ekosistem digital komprehensif di mana hampir kesemua perkhidmatan boleh diakses tanpa perlu hadir secara fizikal ke cawangan bank.
Haji Sofian seterusnya berkata bahawa bersama dengan komitmen sebagai rakan kongsi dalam pembangunan, untuk melengkapi usaha kerajaan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 melalui aktiviti perniagaan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), BIBD juga merupakan penyokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).
Matlamat-matlamat berkenaan, ulasnya, sudah tertanam dengan amalan perbankan dan aktiviti CSR BIBD, dengan bank komited untuk melakukan lebih banyak untuk mempercepatkan perkembangan ke arah mencapai 17 matlamat berkenaan dalam masa yang terdekat.
Kenyataan menyatakan bahawa Mesyuarat Lembaga Eksekutif CAIBA ke-11 dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif APTIBCM ke-2 telah mendengar ucaptama daripada Pengarah Urusan Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Deng Xijun.
Semasa sesi perbincangan, bank-bank anggota berkongsi maklumat, pengalaman dan penilaian mendalam mengenai topik-topik minat bersama termasuk transformasi pendigitalan di sebalik pandemik global, melibatkan ahli-ahli bank generasi akan datang ke arah pembangunan mampan dan integrasi ESG ke dalam amalan perbankan.
Kenyataan menyatakan bahawa bagi mengakhiri mesyuarat itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar menyentuh mengenai perlunya institusi kewangan untuk menempatkan diri mereka di hati komuniti global yang berusaha untuk membina sistem kewangan yang lebih mampan.
Beliau menambah bahawa sekarang terdapat peningkatan kesedaran bahawa bank dan institusi kewangan boleh memainkan peranan dalam mempromosikan amalan yang sihat yang boleh memanfaatkan bukan sahaja badan-badan korporat tetapi juga komuniti.
Dengan kebimbangan mengenai perubahan iklim menjadi semakin meluas, ulasnya, penggunaan sumber secara bertanggungjawab dan mampan telah muncul sebagai metrik utama dalam menilai badan-badan korporat moden.
Kenyataan menyatakan bahawa BIBD seterusnya menyerahkan peranan hos kepada Canadia Bank, Kemboja bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif CAIBA 2022.