Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat sepakat pulihara alam sekitar, lindungi kepelbagaian

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad telah menghadiri Mesyuarat ke-30 Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia pada 28 dan 29 Ogos.

    Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Muhadjir Effendy selaku Pengerusi Majlis ASCC 2023.

    Mesyuarat dihadiri oleh menteri-menteri ASCC atau wakil, dan Setiausaha Agung ASEAN serta Timor-Leste selaku pemerhati.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), semasa mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato bersependapat dengan para menteri yang lain untuk mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap pemuliharaan alam sekitar dan melindungi keunikan kepelbagaian ASEAN.

    Menyentuh mengenai inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan dalam menyokong pembentukan ASEAN Community Vision Post 2025 dan ASCC attendant document, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa ASCC perlu memainkan peranan proaktif dan lebih bermaklumat antaranya dengan memanfaatkan mekanisme-mekanisme ASCC seperti ASCC Research & Development Platforms.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama menteri-menteri ASCC atau wakil, dan Setiausaha Agung ASEAN serta Timor-Leste selaku pemerhati. – Gambar serahan KKBS

    Selain itu, perlunya ada kesinambungan berterusan terhadap pelaksanaan deklarasi dan komitmen-komitmen ASEAN sebelum ini, dalam masa yang sama memastikan ia selari dengan perkembangan, cabaran dan trend terkini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengaitkan dengan dua komitmen utama iaitu kepentingan usaha yang berterusan dalam memupuk budaya pencegahan, ke arah menggalakkan nilai perkongsian ASEAN yang lebih memahami dan bertolak ansur, yang memerlukan kerjasama kukuh rentas-sektor dan rentas-tunggak.

    Di samping itu, kepentingan memupuk keprihatinan ekonomi melalui Care Economy dalam menyokong golongan yang terdedah turut ditekankan.

    Mesyuarat antara lain bertukar-tukar pandangan mengenai kemajuan yang dicapai oleh Tunggak ASCC di bawah kepengerusian Indonesia, dalam mana para menteri menyatakan semula dedikasi yang tinggi ke arah merealisasikan keutamaan-keutamaan ASCC khususnya dalam meningkatkan penglibatan orang kelainan upaya dalam kemajuan ekonomi dan sosiobudaya ASEAN, serta menyokong penjagaan dan pendidikan awal yang komprehensif bagi kanak-kanak, dengan memastikan ia boleh diakses oleh semua.

    Para menteri seterusnya menyatakan penghargaan terhadap penandatanganan perjanjian penubuhan ASEAN Centre for Climate Change dan ASEAN Coordinating Centre on Transboundary Haze Pollution Control, dan seterusnya mengalu-alukan pengoperasian kedua-dua pusat tersebut.

    Dalam pada itu, para menteri juga membincangkan hala tuju strategik ASCC, dengan memberikan tumpuan khusus kepada bidang pendigitalan, evolusi teknologi, faktor kritikal peralihan demografi, serta menekankan kepentingan hubungan masyarakat ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan inklusif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda