Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat sokong pembangunan wanita

    Oleh Ak Zaki Kasharan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Mesyuarat Dialog Dasar Peringkat Tinggi Forum Ekonomi Wanita (WEF) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Wanita dan Ekonomi serta Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke-29 telah diadakan pada 20 dan 21 Ogos lalu di Seattle, Washington, Amerika Syarikat (AS).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pegawai-pegawai wanita ke mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Mesyuarat-mesyuarat berkenaan juga telah dihadiri oleh menteri-menteri daripada ahli-ahli ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

    Mesyuarat Dialog Dasar Peringkat Tinggi APEC WEF mengenai Wanita dan Ekonomi telah dipengerusikan oleh Pembantu Presiden dan Pengarah Majlis Dasar Jantina Rumah Putih, Jennifer Klein.

    Dengan tema Ensuring the Greater Integration and Empowerment of Women in the Asia Pacific Region and Women’s Access to Leadership Positions, para menteri dan ketua-ketua rombongan bertukar-tukar pendapat mengenai usaha dalam memajukan keupayaan kaum wanita untuk bertindak balas terhadap cabaran-cabaran alam sekitar termasuk perubahan iklim, cuaca melampau dan bencana alam.

    Awang Mohammad Harris semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan Urus Setia APEC

    Perbincangan juga memfokuskan kepada sokongan APEC terhadap program mentorship dan kepimpinan bagi meningkatkan kemahiran dan melatih kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dalam menangani cabaran alam sekitar yang mendesak.

    Semasa sesi pertukaran pendapat, Awang Mohammad Harris mengambil maklum bahawa APEC berkedudukan baik untuk mempromosikan dan menyokong secara aktif pembangunan kemahiran kepimpinan kaum wanita serta menyediakan peluang bimbingan.

    Mesyuarat diikuti dengan sesi bersama antara WEF dan Mesyuarat Menteri-menteri PKS, di mana perbincangan memberikan tumpuan kepada memperluaskan akses perniagaan milik wanita kepada rantaian nilai global, mempromosikan keusahawanan wanita melalui e-dagang serta inovator wanita dan perubahan iklim.

    Dalam hal itu, Awang Mohammad Harris telah mengongsikan usaha negara dalam menggalakkan pertumbuhan PMKS termasuk perniagaan milik wanita dan yang diterajui oleh wanita, melalui pelbagai inisiatif di peringkat domestik dan serantau.

    Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Manakala itu, Mesyuarat Menteri-menteri PKS ke-29 telah dipengerusikan oleh Setiausaha Rendah bagi Perdagangan Antarabangsa, Jabatan Perdagangan AS, Marisa Lago.

    Perbincangan tertumpu kepada beberapa tema termasuk pemerkasaan PMKS di pasaran global melalui akses kepada rantaian nilai global serta alat dan teknologi digital, PMKS dan peralihan hijau serta peluang perkembangan bagi mereka yang mempunyai potensi ekonomi yang belum diterokai.

    Juga hadir pada mesyuarat itu ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta DARe.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda