Wednesday, April 30, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat teliti kemajuan pelaksanaan pelan tindakan Wawasan Brunei 2035

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 Kali Pertama bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.

    Semasa mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, antara lain menekankan bahawa tempoh 10 tahun yang tinggal menuju tahun sasaran 2035 menuntut usaha yang lebih menyeluruh dan bersepadu melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.

    Baginda turut menekankan bahawa walaupun pelbagai pencapaian telah diraih, negara kini berdepan dengan cabaran-cabaran baharu yang memerlukan pendekatan strategik yang lebih fleksibel dan responsif.

    Sehubungan itu, mesyuarat telah membincangkan pengemaskinian Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, agar ia lebih inklusif terhadap isu-isu semasa dan cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat ke mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    ATAS & BAWAH : DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersama menteri-menteri kabinet pada mesyuarat yang diadakan di Istana Nurul Iman, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Pengemaskinian itu bertujuan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dasar terus relevan dan seiring dengan perubahan landskap sosioekonomi, baik di peringkat kebangsaan mahupun serantau dan global.

    Mesyuarat juga meneliti Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebangsaan yang terkini dan penggunaan Indeks Wawasan Brunei 2035 yang merupakan satu pendekatan bersepadu untuk menilai kemajuan acara menyeluruh ke arah pencapaian tiga aspirasi utama Wawasan Brunei 2035. Pendekatan ini menggabungkan KPI-KPI kebangsaan merentas sektor bagi menilai keberkesanan dasar, mengenal pasti jurang prestasi serta menyokong hala tuju dan keputusan strategik.

    Dalam hal ini, penyelarasan antara agensi dan sektor turut ditekankan agar semua pihak bergerak seiring ke arah matlamat yang sama.

    Mesyuarat itu juga meneliti kemajuan pelaksanaan pelan-pelan tindakan Wawasan Brunei 2035 yang berperanan sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar dan program pembangunan. Usaha-usaha pembarigaan yang giat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan menyeluruh semua pihak, termasuk masyarakat umum dan sektor swasta.

    Baginda juga mengimbas pelancaran Wawasan Brunei 2035 pada tahun 2007 di mana negara mengambil masa yang wajar untuk membentuk perancangan dan struktur pelaksanaan. Kini, dengan adanya rangka kerja dan asas yang kukuh, pengemaskinian yang dilaksanakan diharap dapat menentukan hala tuju yang lebih jelas ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Baginda seterusnya menyeru agar semua pihak, termasuk sektor bukan kerajaan, untuk terus memainkan peranan aktif sebagai rakan pembangunan strategik dalam merealisasikan aspirasi dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 terus berperanan sebagai platform tertinggi negara dalam menyelaras, memandu dan memantau kemajuan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 ke arah membentuk masa depan Negara Brunei Darussalam yang cemerlang, mampan dan berdaya tahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda