Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Pada hari kedua Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15 (AIPA CAUCUS 15) bersidang, ia telah menimbangkan dan meluluskan draf laporan mesyuarat dan seterusnya diikuti dengan majlis penutup mesyuarat berkenaan yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat AIPA CAUCUS 15, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohammad Yusof.
Mesyuarat berkenaan yang bersidang selama dua hari telah membincangkan isu, Strengthening ASEAN Cyber Resilience through Parliamentary Cooperation: Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy.
Ahli-ahli parlimen telah menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam meningkatkan ketahanan siber di rantau ASEAN. Manakala, perwakilan-perwakilan negara ASEAN turut menekankan keperluan penyelarasan dasar dan undang-undang bagi melindungi infrastruktur digital, mempromosikan inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Saranan ahli parlimen AIPA adalah bagi meningkatkan kesedaran dalam literasi digital dan kesedaran tentang keselamatan siber.
Dalam menyokong usaha serantau berkenaan, ahli-ahli parlimen akan berusaha untuk mengambil langkah-langkah konkrit dalam memperkukuhkan kerjasama dan ketahanan siber di rantau ini.
Mesyuarat tersebut telah menutup tirai dengan Majlis Penyerahan Tugas kepada negara penganjur seterusnya iaitu Kemboja. Majlis penutup diakhiri dengan penandatanganan Laporan Mesyuarat AIPA CAUCUS 15 oleh ketua-ketua delegasi parlimen sebagai tanda persetujuan dan kesepakatan mesyuarat dan perbincangan yang telah diadakan.
Pada sebelah petang, para delegasi mesyuarat berkenaan berkesempatan untuk melawat ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai salah satu program mesyuarat sekali gus mempromosikan koleksi-koleksi budaya seni Islam dan negara.





