Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat tumpu pembangunan program AIMS

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar (AIMS) ke-9 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

    Mesyuarat anjuran bersama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Pusat SEAMEO RIHED itu diadakan secara hibrid selama dua hari dari 6 hingga 7 November.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pembukaan AIMS ke-9, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara bagi Pengajian Tinggi dan Perkembangan (SEAMEO RIHED) selaku Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pandu, Profesor Pembantu Dr Romyen Kosaikanont.

    Mesyuarat jawatankuasa pandu ini antara lain bertujuan memberikan tumpuan kepada peranan dan fungsi serta isu-isu teknikal dan yang berkaitan untuk meningkatkan pembangunan Program AIMS.

    Ini termasuk usaha untuk menjadikan AIMS lebih maju ke hadapan, mobiliti inovatif yang sejajar dengan Mobiliti Asia Tenggara-Eropah untuk pembangunan berdaya tahan, meneroka kaedah mobiliti alternatif dan memajukan penyelidikan AIMS.

    Mesyuarat juga merangkumi perkongsian mengenai AIMS dan proses AIMS untuk menyokong penyelarasan serantau serta sistem dan proses pengantarabangsaan.

    Perbincangan dan hasil mesyuarat ini diharapkan dapat membantu dalam pembangunan sumber dan maklumat AIMS.

    Mesyuarat dihadiri oleh negara-negara ahli Program AIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Filipina, Jepun, Kemboja, Malaysia, Republik Korea, Singapura dan Thailand.

    Dr Haji Azman semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Dr Haji Azman bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda