Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Pembakaran terbuka yang masih lagi menjadi isu yang berleluasa di negara ini berkaitan dengan pemikiran dan sikap masyarakat yang masih biasa dengan pembakaran sisa hijau di belakang rumah sehingga membawa kepada berlakunya kebakaran hutan atau belukar yang tidak terkawal.
Bagi menangani perkara itu, Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang memuktamadkan peraturan pembakaran terbuka di bawah Perintah Pengurusan dan Perlindungan Alam Sekitar 2016 yang akan mengenakan denda kepada mereka yang didapati melakukan pembakaran terbuka sebagai penghalang kepada aktiviti yang tidak bertanggungjawab serta berpotensi menjadi berbahaya itu. Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Dayang Martinah binti Haji Tamit berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) bagi Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan ke-21 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa Brunei akan terus berhati-hati dan menumpukan usaha dengan semua negara anggota dalam meningkatkan langkah pemantauan dan pencegahan untuk menangani sebarang situasi kebakaran dan jerebu.
Beliau menyeru rakan-rakan sejawatnya untuk bekerjasama dalam semangat perpaduan ASEAN bagi mencapai matlamat serta persetujuan yang konkrit.
Terdahulu, Dayang Martinah mendedahkan bahawa Brunei dikurniakan udara yang bersih dengan 99 peratus bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) yang baik dan 1 peratus atau empat hari bacaan PSI yang sederhana bagi tempoh di antara Jun 2018 hingga Julai 2019.



Namun begitu, tambahnya, kualiti udara telah terjejas sedikit oleh asap jerebu daripada aktiviti kelompok panas jiran khususnya di kawasan barat Borneo pada Julai, Ogos dan September 2018.
“Kadar bacaan PSI yang dicatatkan sedikit lebih tinggi berbanding biasa dan meningkat kepada tahap sederhana,” tambahnya.
Dayang Martinah menjelaskan bahawa bagi Brunei, Mac 2019 merupakan tempoh yang kering ketika menuju ke fasa terakhir tempoh monsun timur laut dengan hanya kira-kira 58.9 mm hujan dicatatkan iaitu penurunan yang tinggi berbanding jumlah purata bagi Mac iaitu 130mm.
Di antara Januari dan pertengahan Mac, sebanyak 461 kebakaran belukar dan hutan telah dilaporkan dengan hampir 100 orang anggota bomba dan penyelamat ditugaskan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.
Pada pertengahan April 2019, satu kebakaran hutan yang besar meliputi lebih 100 hektar berlaku di sempadan Sarawak-Brunei di Daerah Kuala Baram di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Brunei dan Sarawak bekerjasama menangani kebakaran itu.
Pelbagai agensi tempatan seperti JASTRe, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan JBP bekerjasama untuk menangani sebarang isu-isu sosial, sekuriti dan kesihatan yang berlaku daripada kejadian kebakaran serta jerebu, jelas Dayang Martinah lagi.