HANOI, 1 OKT – Syarikat induk Facebook, Meta, akan menghasilkan set kepala realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) generasi baharu di Vietnam, yang akan mewujudkan lebih daripada 1,000 pekerjaan, menurut kenyataan syarikat itu hari ini.
Pengumuman itu dibuat ketika Vietnam berusaha untuk meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat terbesar dunia dan menjadi sebahagian pen-ting daripada rantaian bekalan global.
Bercakap pada persidangan teknologi di Hanoi, Presiden Hal Ehwal Global Meta, Nick Clegg berkata syarikat itu akan memberi tumpuan kepada pengeluaran set kepala Quest 3S di negara Asia Tenggara itu.
“Kami, bersama rakan kongsi tempatan kami, akan mengeluarkan set kepala ini di Vietnam dan kami menganggarkan ia akan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan baharu,” katanya.
Vietnam yang sudah lama menjadi destinasi kos rendah untuk pembuatan pakaian, kasut dan perabot, sedang melihat peluang untuk meningkat dengan cepat dalam rantaian bekalan global, dan minggu lepas kerajaan mengumumkan bahawa SpaceX milik Elon Musk merancang untuk melabur sebanyak AS$1.5 bilion di negara itu.
Pemimpin tertinggi Vietnam, To Lam menggunakan lawatan ke New York bulan lepas untuk bertemu dengan ketua-ketua dari Apple, Meta dan firma IT, Supermicro.
Beliau juga bertemu dengan Presiden AS, Joe Biden, setahun selepas pemimpin AS itu mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan perdagangan.
Vietnam berhasrat untuk mengembangkan keupayaannya dalam industri cip yang menguntungkan, dengan kejutan dalam rantaian bekalan global dan kebimbangan tentang kebergantungan AS terhadap China untuk sumber penting merangsang pelaburan di negara itu. – AFP