Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta akan mulakan ujian Community Notes

    ISTANBUL, 14 MAC – Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan Threads, mengumumkan kelmarin, ia akan memulakan ujian Community Notes di platformnya, lapor agensi Anadolu (AA).

    “Kami menjangkakan Community Notes akan kurang bersifat berat sebelah berbanding program pemeriksaan fakta pihak ketiga yang digantikannya kerana ia membolehkan lebih ramai individu dengan pelbagai perspektif menambah konteks kepada hantaran,” menurut kenyataan Meta di laman sesawangnya.

    Pada Januari lepas, Meta mengumumkan rancangan untuk beralih daripada program pemeriksaan fakta pihak ketiga kepada pendekatan Community Notes yang bersumberkan komuniti, bermula di Amerika Syarikat (AS).

    “Pada 18 Mac, kami akan memulakan ujian pendekatan baharu ini dengan membolehkan penyumbang daripada komuniti kami menulis dan menilai nota pada kandungan di Facebook, Instagram dan Threads,” katanya kelmarin.

    Program ini membolehkan pengguna, yang digelar sebagai penyumbang, meninggalkan nota maklumat pada hantaran bagi membetulkan maklumat salah atau memberikan konteks tambahan.

    Syarikat itu akan memulakan ujian dengan secara beransur-ansur dan secara rawak menerima individu dari senarai menunggu serta menguji sistem penulisan dan penilaian sebelum mana-mana nota dipaparkan kepada umum. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 14 Jun 2023 menunjukkan logo Meta di pameran Vivatech di Paris, Perancis. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda