KUALA LUMPUR, 1 MEI – Keputusan yang diambil oleh Meta Platforms Inc. (Meta), pemilik platform media sosial Facebook dan Instagram, hanya memberi kesan yang minimum kepada usahawan dalam talian Malaysia yang aktif menjalankan perniagaan mereka menerusi platform tersebut.
Pada Khamis lepas, Meta mengumumkan perniagaan di Asia Pasifik (APAC) tidak lagi boleh mempunyai kedai dalam talian seperti di Facebook atau Instagram atau menggunakan penandaan produk dalam hantaran mereka mulai 10 Ogos, 2023, kecuali di tujuh pasaran iaitu Australia, Korea Selatan, Taiwan, India, Jepun, Indonesia dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perunding e-dagang, Kartel Digital Sdn Bhd, Hafiz Azman berkata, pengumuman oleh Meta itu membayangkan bahawa semua perniagaan berdaftar di Malaysia tidak lagi dapat menggunakan ciri-ciri Kedai di Facebook dan Instagram untuk menjalankan urus niaga jualan.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan usahawan perniagaan dalam talian di Malaysia tidak menggunakan ciri-ciri Kedai Facebook atau Instagram berikutan dasar yang ketat di platform tersebut, katanya.
“Majoriti penjual dalam talian tempatan mendapati sukar untuk mematuhi ciri-ciri teknikal yang kompleks untuk mengehoskan kedai mereka di Facebook dan Instagram kerana urus niaga diuruskan dan diproses oleh Meta dan bukan secara langsung oleh penjual.
“Bagaimanapun, mereka masih boleh menggunakan platform pengiklanan Meta untuk menarik trafik, kesedaran dan jualan ke platform pilihan mereka seperti laman web mereka sendiri dan platform media sosial lain,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Hafiz berkata, penjual tempatan juga masih mempunyai akses untuk mengakses kemudahan yang ditawarkan oleh gergasi media sosial dan teknologi seperti Tiktok dan Google, sambil menambah Twitter juga membantu meningkatkan perniagaan di Malaysia. – Bernama