SAN FRANCISCO, 7 DIS – Negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS) kelmarin memfailkan saman terhadap Facebook dan Instagram kerana menuduh platform tersebut sebagai ‘tempat pembiakan’ untuk penjenayah yang menyasarkan kanak-kanak.
Saman terbaharu itu dibuat kurang daripada dua bulan selepas berpuluh-puluh negeri di AS menuduh pemilik Facebook dan Instagram Meta mendapat keuntungan ‘daripada kesengsaraan kanak-kanak’, merosakkan kesihatan mental mereka dan mengelirukan orang ramai tentang keselamatan platformnya.
Secara keseluruhan, lebih daripada 40 negeri menyaman Meta, walaupun ada yang memilih untuk memfailkan di mahkamah tempatan daripada menyertai kes persekutuan.
“Siasatan kami ke atas platform media sosial Meta menunjukkan bahawa mereka bukan ruang selamat untuk kanak-kanak tetapi lebih kepada lokasi utama untuk pemangsa memperdagangkan pornografi kanak-kanak dan meminta kanak-kanak di bawah umur untuk melakukan seks,” kata peguam negara New Mexico, Raul Torrez dalam satu kenyataan. – AFP
