Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta dijangka lancar pembantu AI generatif di EU

    PARIS, 20 MAC – Syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta, berkata hari ini ia akan melancarkan pembantu kecerdasan buatan (AI) generatif, Meta AI, di Kesatuan Eropah (EU) mulai minggu ini, lebih setahun selepas perkhidmatan itu dikeluarkan di Amerika Syarikat (AS).

    “Ia mengambil masa lebih lama daripada yang kami mahu untuk mendapatkan teknologi AI kami ke tangan orang di Eropah sambil kami terus menavigasi sistem pengawalseliaan yang kompleks – tetapi kami gembira akhirnya di sini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    “Mulai minggu ini, Meta AI akan mula dilancarkan di 41 buah negara Eropah,” tambahnya.

    Meta AI pertama kali diperkenalkan kepada AS pada September 2023, kemudian dilancarkan pada semua aplikasi kumpulan itu pada April 2024.

    Walaupun penjanaan imej tersedia di AS, di EU alat AI generatif akan menghasilkan jawapan teks sahaja kepada soalan pengguna. Meta AI juga boleh menggunakan carian web untuk jawapannya.

    Syarikat itu berkata kemasukan bot dalam perbualan boleh membantu menyelami topik yang diminati atau mendapatkan bantuan tentang tatacara untuk menyelesaikan masalah.

    Bagi membangun large language model (LLM) seperti Meta AI memerlukan rizab data yang besar, sangat dikawal di EU berkaitan dengan pengguna individu.

    Bot Meta yang tersedia di EU tidak dilatih mengenai data daripada pengguna EU. – AFP

    Gambar bertarikh 18 Januari 2024 menunjukkan logo Meta semasa mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda