Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta dikecam, iklan dadah haram tular di media sosial

    WASHINGTON, 16 OGOS – Ahli Kongres Amerika Syarikat semalam menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, untuk memberikan penjelasan terperinci berhubung iklan yang mempromosikan opioid dan dadah haram lain yang didapati muncul di platform milik syarikat itu.

    Seramai 19 penggubal undang-undang menandatangani surat yang meminta Zuckerberg menjelaskan mengenai laporan terkini oleh Tech Transparency Project dan Wall Street Journal, yang mendedahkan kewujudan lebih 450 iklan di Instagram dan Facebook yang menjual pelbagai jenis dadah haram.

    “Apa yang lebih membimbangkan adalah iklan ini bukanlah kandungan pengguna yang dihasilkan di laman gelap atau halaman media sosial peribadi, tetapi iklan yang diluluskan dan mendapat keuntungan oleh Meta,” menurut surat tersebut.

    Laporan itu mendapati bahawa banyak iklan secara terang-terangan memaparkan gambar botol ubat preskripsi atau bungkusan kokain, dan secara terbuka menggalakkan pengguna untuk membuat pesanan.

    Surat berkenaan turut meminta Zuckerberg menjelaskan bilangan iklan dadah haram yang telah dijalankan di platform Meta, langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani isu itu, serta sama ada penonton disasarkan untuk iklan tersebut berdasarkan maklumat kesihatan peribadi mereka.

    Ahli Kongres telah memberikan tempoh sehingga 6 September untuk Zuckerberg memberikan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan dalam surat tersebut.

    “Meta kelihatan telah mengabaikan tanggungjawab sosialnya dan melanggar garis panduan komuniti mereka sendiri,” tegas surat itu. – AFP

    Zuckerberg bercakap semasa persidangan di SIGGRAPH 2024, pada 29 Julai, di Pusat Konvensyen Colorado di pusat bandar Denver. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda