Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Meta gagal banteras aktiviti jenayah dalam talian’

    KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menegur syarikat gergasi teknologi Meta kerana kurang berkesan dalam menangani aktiviti jenayah di platformnya, sambil memberi amaran bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan.
     
    Fahmi dalam satu kenyataan hari ini berkata satu mesyuarat telah diadakan bersama wakil Meta di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), disertai pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
     
    “Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada isu kritikal melibatkan platform Meta, khususnya Facebook, termasuk perjudian dalam talian, penipuan, penyebaran maklumat palsu, kandungan 3R (Agama, Kaum, Institusi Diraja) serta penjualan produk terlarang seperti cecair vape bercampur dadah,” katanya.
     
    Fahmi berkata sehingga 19 September, sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada  pihak Meta untuk platform Facebook sahaja yang mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial di Malaysia.
     
    “Daripada jumlah tersebut, 120,127 berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan. Manakala bagi aktiviti scam, 37,722 permohonan  penurunan dibuat dan 36,918 diturunkan. Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya.
     
    Fahmi berkata berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi tempoh 2023 hingga Ogos tahun ini mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.  – Bernama
     
    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda