SAN FRANCISCO, 13 JUN – Scale AI mengumumkan pelaburan besar baharu daripada Meta lewat kelmarin yang menilai syarikat pemula itu melebihi AS$29 bilion dan turut membawa pengasasnya bekerja untuk gergasi teknologi tersebut.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Scale AI, Alexandr Wang, akan menyertai Meta untuk membantu dalam usaha kecerdasan buatan (AI) syarikat itu sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, menurut kenyataan syarikat pemula itu.
Meta dilaporkan melaburkan lebih AS$10 bilion ke dalam Scale AI yang berpangkalan di San Francisco dan memperoleh CEO berusia 28 tahun itu semasa persaingan sengit dalam perlumbaan AI bersama pesaing seperti OpenAI, Google dan Microsoft.
“Meta telah memuktamadkan kerjasama strategik dan pelaburan kami dalam Scale AI,” kata jurucakap Meta sebagai respons kepada pertanyaan AFP.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, kami akan memperdalam kerjasama dalam penghasilan data untuk model-model AI dan Alexandr Wang akan menyertai Meta untuk bekerja dalam inisiatif kecerdasan kami.”

Meta berjanji akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai langkah itu dalam beberapa minggu akan datang.
Scale AI bekerjasama dengan syarikat, kerajaan dan makmal untuk memanfaatkan potensi kecerdasan buatan, menurut kenyataan syarikat tersebut.
“Pelaburan Meta mengiktiraf pencapaian Scale setakat ini dan mengesahkan bahawa hala tuju kami, seperti AI – tidak terhad,” kata Wang dalam kenyataan rasmi.
“Scale menjadi jambatan antara nilai-nilai kemanusiaan dan teknologi bagi membantu pelanggan kami mencapai potensi penuh AI.”
Sejak ditubuhkan oleh Wang pada tahun 2016, Scale AI telah berkembang kepada lebih 1,500 kakitangan, menurut catatannya di platform X.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa kakitangan lain, yang dipanggilnya ‘Scaliens’, akan turut menyertai beliau dalam projek AI Meta.
Wang menyifatkan pemergiannya sebagai sesuatu yang ‘manis dan pahit’ serta akan terus berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Scale AI. – AFP