SAN FRANCISCO, 30 APRIL – Firma gergasi media sosial, Meta melancarkan aplikasi pembantu kecerdasan buatan (AI) kendiri pertamanya kelmarin, menyaingi ChatGPT dengan memberikan pengguna laluan terus kepada model AI generatifnya.
“Satu bilion orang menggunakan Meta AI merentas aplikasi kami sekarang, jadi kami membuat aplikasi Meta AI kendiri baharu untuk disemak mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas syarikat itu, Mark Zuckerberg dalam video yang disiarkan di Instagram.
Zuckerberg berkata aplikasi itu direka bentuk untuk menjadi AI peribadi mereka dan boleh diakses terutamanya melalui perbualan suara dengan interaksi yang diperibadikan kepada pengguna individu.
“Kami bermula dengan perkara asas, dengan konteks sedikit tentang minat mereka,” kata CEO itu.
“Tetapi lama-kelamaan, kami akan memberitahu Meta AI secara menyeluruh tentang mereka dan orang yang disayangi dari seluruh aplikasi kami, jika awda berminat.”
Menerusil DNA media sosial syarikat, aplikasi itu menampilkan ruangan sosial yang membolehkan pengguna melihat hantaran ciptaan AI oleh pengguna lain.
“Kami belajar dengan melihat orang lain melakukannya, jadi kami meletakkannya dalam aplikasi,” kata Ketua Pegawai Produk Meta, Chris Cox kelmarin ketika dia melancarkan perhimpunan pemaju teknologi, LlamaCon, yang dikhaskan untuk model AI sumber terbukanya. “Mereka boleh berkongsi prompt dan seni. Ia sangat menyeronokkan,” tambahnya. – AFP
