Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta perkenal iklan Threads, saingi X

    SAN FRANCISCO, 26 JAN – Syarikat induk kepada Facebook, Meta, telah memulakan ujian iklan di Threads, platform media sosial terbaharunya, menurut kenyataan seorang eksekutif pada Jumaat lalu, susulan Meta yang terus berusaha mengembangkan alternatif kepada platform X milik Elon Musk.

    Threads, yang dilancarkan pada musim panas 2023, diperkenalkan lapan bulan selepas Musk mengambil alih Twitter — kini dikenali sebagai X. Perubahan seperti langganan berbayar dan pengurangan moderasi kandungan di X dilaporkan menyebabkan pengguna dan pengiklan berpindah ke platform lain.

    Pengenalan iklan di Threads dijangka dilaksana, memandangkan sebahagian besar pendapatan Meta diperoleh melalui pengiklanan di platform percuma mereka.

    “Kami memulakan ujian kecil untuk iklan di Threads dengan beberapa jenama di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun,” kata Ketua Instagram dan Threads, Adam Mosseri, pada Jumaat lalu.

    Beliau menambah bahawa pasukannya akan memantau maklum balas dengan teliti bagi memastikan: “Iklan ini terasa seperti siaran Threads yang relevan dan menarik.”

    Langkah itu adalah berikutan Meta yang menghadapi pengawasan yang lebih ketat selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, menamatkan program semakan fakta di AS – alat penting dalam memerangi maklumat salah dalam talian – dan melonggarkan peraturan moderasi kandungan bagi membenarkan lebih banyak ucapan kontroversi, serupa dengan dasar X.

    Keputusan tersebut dilihat secara meluas sebagai usaha untuk menarik sokongan Presiden Donald Trump, di mana para penyokong konservatifnya sering mendakwa semakan fakta pihak ketiga di platform teknologi digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara dan menapis kandungan berhaluan kanan.

    “Pelancaran iklan Threads hanya beberapa minggu selepas perubahan besar pada dasar moderasi kandungan Meta pasti akan menimbulkan kebimbangan di kalangan pengiklan,” kata penganalisis Emarketer, Jasmine Enberg. Beliau turut meramalkan reaksi negatif daripada pengguna yang sudah skeptikal terhadap Meta. – AFP

    Gambar ilustrasi yang dihasilkan pada 7 Januari di Washington, DC, menunjukkan imej Mark Zuckerberg berserta logo Meta. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda