LONDON, 5 JULAI – Meta bersedia untuk memperkenalkan aplikasi baharu yang kelihatan meniru Twitter – cabaran langsung kepada platform media sosial yang dimiliki oleh Elon Musk.
Penyenaraian untuk aplikasi, dipanggil Threads, muncul di App Store Apple, menunjukkan ia akan dilancarkan seawal Khamis. Ia dianggap sebagai ‘aplikasi perbualan berasaskan teks’ yang dipautkan ke Instagram, dengan penyenaraian itu mencetuskan pengalaman microblogging seperti Twitter.
“Threads ialah tempat komuniti berkumpul untuk membincangkan segala-galanya daripada topik yang awda minati hari ini kepada perkara yang akan menjadi trending esok,” katanya.
Pengguna Instagram boleh mengekalkan nama mereka dan mengikuti akaun yang sama di aplikasi baharu itu, menurut tangkapan skrin yang dipaparkan pada penyenaraian App Store. Meta enggan mengulas mengenai aplikasi itu.
Penyenaraian Meta diadakan tepat pada masanya kerana pengguna Twitter semakin kecewa dengan perubahan yang dilakukan Musk dan sedang mencari alternatif lain, kata Matt Navarra, perunding media sosial.
Threads memperkenalkan “peluang untuk beralih ke platform yang boleh memberi mereka banyak perkara yang ingin diteruskan oleh mereka namun gagal dilaksanakan oleh Twitter,” katanya.
Membenarkan pengguna Instagram memindah profil mereka ke Threads boleh menarik lebih ramai bakal pengguna dengan menyediakan set akaun tersedia untuk diikuti mereka, kata Navarra, bekas pengarah media sosial di laman berita teknologi The Next Web dan penasihat komunikasi digital untuk kerajaan British. – AP


