PARIS, 18 FEB – Syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta, mengumumkan mereka akan memasang kabel di bawah laut yang menghubungkan lima benua untuk membawa data, termasuk untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI).
Kabel tersebut akan merentasi lebih daripada 50,000 kilometer dari Amerika Syarikat (AS) ke Afrika Selatan, India, Brazil dan ‘wilayah lain’, menurut Meta dalam blog yang diterbitkan pada Jumaat lalu.
Komunikasi digital global bergantung pada rangkaian kabel laut yang luas, dengan kira-kira 1.2 juta kilometer kabel yang sudah dipasang, menurut laporan 2024 oleh Centre for Strategic and International Studies (CSIS) yang berpusat di AS.
Syarikat gergasi digital seperti Meta baru-baru ini mula menembusi dunia kabel bawah laut yang sebelumnya dikuasai oleh syarikat khusus seperti SubCom dari AS, ASN dari Perancis, NEC dari Jepun dan HMN dari China.
Aliran data antara benua menyokong sebahagian besar aktiviti ekonomi global, tetapi sering terjejas oleh kerosakan yang tidak sengaja seperti tanah runtuh bawah laut, tsunami atau sauh kapal diseret. Kabel itu juga boleh menjadi sasaran sabotaj dan perisikan.
Digelar Project Waterworth, pelan Meta itu bertujuan untuk ‘memperkukuh skala dan kebolehpercayaan rangkaian digital dunia dengan sambungan berkelajuan tinggi yang luas yang diperlukan untuk memacu inovasi AI”.
Meta menyatakan bahawa projek kabel itu adalah ‘pelaburan berbilion dolar dan berbilang tahun,’ yang jelas menekankan AI sebagai pendorong utama keperluan data tanpa batasan, dan dijangka akan meningkatkan trafik digital global pada masa akan datang. – AFP
