SAN FRANCISCO, 27 OGOS – Meta melancarkan sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) di California bagi menyokong calon-calon yang memilih peraturan lebih longgar terhadap kecerdasan buatan (AI) di negeri yang menjadi pusat Silicon Valley itu.
Gergasi teknologi berkenaan kelmarin mengesahkan rancangan menubuhkan sebuah super-PAC bernama Mobilizing Economic Transformation Across California yang ditumpukan untuk menyokong calon pro-AI tanpa mengira parti politik.
“Sebagai rumah kepada banyak syarikat AI terkemuka dunia, ekonomi inovasi California memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi Amerika, penciptaan pekerjaan dan daya saing global,” kata jurucakap Meta kepada AFP.
“Tetapi persekitaran kawal selia di Sacramento boleh menyekat inovasi, menghalang kemajuan AI dan meletakkan kepimpinan teknologi California dalam keadaan berisiko.”
Menurut Meta, peraturan di peringkat negeri mengenai AI boleh menghalang pembangunan teknologi tersebut ketika firma teknologi Amerika sedang bersaing sengit dengan pesaing dari China dalam perlumbaan inovasi.
Industri teknologi kini giat melobi bagi mengelak pengawalseliaan pembangunan AI, dan pada Julai lalu gagal dalam usaha meyakinkan Kongres AS untuk meluluskan larangan persekutuan yang boleh menghalang negeri-negeri daripada menggubal atau menguatkuasakan undang-undang AI sehingga sedekad lamanya.
Meta turut menegaskan lebih daripada 50 rang undang-undang berkaitan AI telah diperkenalkan di California sahaja pada tahun ini, yang menurut syarikat itu, banyak daripadanya boleh mengekang kemajuan teknologi. – AFP


