WASHINGTON, 27 JUN – Instagram dan syarikat induk Facebook, Meta sedang menambah beberapa alat pengawasan ibu bapa dan ciri privasi baharu pada platformnya ketika syarikat-syarikat media sosial semakin dipantau kesannya terhadap kesihatan mental remaja.
Tetapi kebanyakan ciri itu memerlukan kanak-kanak bawah umur dan ibu bapa mereka untuk mengaktifkannya, menimbulkan persoalan tentang keberkesanan langkah tersebut.
Sebagai contoh, Instagram kini akan menghantar notifikasi kepada remaja selepas mereka menyekat seseorang, menggalakkan mereka untuk membenarkan ibu bapa mengawasi akaun mereka. Ideanya adalah untuk menarik perhatian kanak-kanak apabila mereka mungkin lebih terbuka kepada bimbingan ibu bapa.
Jika seorang remaja mengaktifkannya, sistem akan membenarkan ibu bapa menetapkan had masa, melihat siapa yang diikuti atau mengikuti anak mereka dan membolehkan mereka mengesan berapa banyak masa yang diluangkan oleh kanak-kanak itu di Instagram. Namun, ia tidak membenarkan ibu bapa melihat kandungan mesej.
Instagram melancarkan alat pengawasan ibu bapa tahun lepas untuk membantu keluarga mengendalikan platform dan mencari sumber serta bimbingan. Perkara penting dalam proses itu ialah kanak-kanak perlu mendaftar jika mereka mahu ibu bapa mengawasi akaun mereka. Tidak jelas berapa ramai pengguna remaja yang telah mematuhinya dan Meta juga tidak mendedahkan sebarang statistik.
Pengawasan sedemikian membolehkan ibu bapa melihat bilangan rakan anak mereka yang mempunyai persamaan dengan akaun yang diikuti atau diikuti oleh rakannya. Maka, jika kanak-kanak itu diikuti oleh seseorang yang tidak diikuti oleh rakan mereka, ia boleh menimbulkan keraguan bahawa remaja itu tidak mengenali orang itu dalam kehidupan sebenar. – AFP
