Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta tambah kawalan ibu bapa bagi interaksi remaja dengan AI

    CALIFORNIA, 17 OKT – Meta akan memperkenalkan ciri kawalan ibu bapa bagi mengawasi interaksi kanak-kanak dan remaja dengan perisian sembang kecerdasan buatan (AI), termasuk keupayaan untuk menutup sepenuhnya perbualan peribadi dengan watak AI, mulai awal tahun depan.

    Bagaimanapun, ibu bapa tidak akan dapat menutup pembantu AI Meta sepenuhnya.

    Syarikat itu menjelaskan bahawa pembantu berkenaan ‘akan kekal tersedia untuk memberikan maklumat berguna dan peluang pendidikan, dengan perlindungan yang sesuai mengikut umur bagi memastikan keselamatan remaja.’

    Bagi ibu bapa yang tidak mahu menutup semua sembang dengan watak AI, mereka juga boleh menyekat chatbot tertentu. Meta turut memaklumkan hari ini bahawa ibu bapa akan dapat melihat ‘maklumat ringkas’ tentang topik yang dibincangkan oleh anak mereka dengan watak AI, namun tidak akan diberikan akses kepada keseluruhan perbualan.

    Perubahan itu dibuat ketika gergasi media sosial itu terus berdepan kritikan berhubung kesan buruk terhadap kanak-kanak hasil penggunaan platformnya. Chatbot AI turut menerima tumpuan selepas dakwaan bahawa interaksi mereka dengan kanak-kanak telah mencetuskan beberapa kes bunuh diri, menurut beberapa tuntutan mahkamah.

    Walau bagaimanapun, menurut kajian terbaharu oleh Common Sense Media, sebuah pertubuhan bukan untung yang meneliti penggunaan skrin dan media digital secara berhemah, lebih 70 peratus remaja pernah menggunakan rakan AI dan separuh daripadanya menggunakannya secara tetap.

    Pada Selasa lalu, Meta mengumumkan akaun remaja di Instagram akan disekat kepada kandungan setaraf PG-13 dan tidak boleh menukar tetapan tersebut tanpa kebenaran ibu bapa. Ini bermakna pengguna akaun remaja hanya akan melihat gambar dan video di Instagram yang serupa dengan kandungan filem PG-13, tanpa unsur seks, dadah atau aksi berbahaya. – AP

    Ketua Pegawai Produk Meta, Chris Cox berucap pada LlamaCon 2025, persidangan pembangun AI di Menlo Park, California, pada 29 April lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda