Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta tawar bonus AS$100 juta pancing pekerja OpenAI

    NEW YORK, 18 JUN – Meta menawarkan bonus AS$100 juta kepada pekerja OpenAI dalam usaha yang tidak berjaya untuk memancing bakat pembuat ChatGPT dan mengukuhkan pasukan AI generatifnya sendiri, kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Sam Altman.

    Syarikat induk Facebook – pesaing OpenAI juga menawarkan gaji tahunan ‘lumayan’ melebihi AS$100 juta kepada kakitangan OpenAI, kata Altman dalam temu bual pada podcast Uncapped with Jack Altman yang diterbitkan kelmarin.

    “Ia gila,” beritahu Altman kepada abangnya Jack dalam temu bual itu.

    “Saya amat gembira kerana sekurang-kurangnya setakat ini tidak ada orang terbaik kami yang memutuskan untuk menerima tawaran mereka.”

    Pengasas bersama OpenAI itu berkata Meta telah membuat tawaran kepada ‘ramai orang dalam pasukan kami.’

    Gambar AP

    Meta tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

    Syarikat gergasi media sosial itu telah melabur berbilion dolar dalam teknologi kecerdasan buatan di tengah-tengah persaingan sengit dalam perlumbaan AI dengan pesaing OpenAI, Google dan Microsoft.

    Ketua eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkata pada Januari bahawa firma itu merancang untuk melabur sekurang-kurangnya AS$60 bilion dalam AI tahun ini, dengan cita-cita untuk menerajui teknologi itu.

    Minggu lalu, Meta memeterai perjanjian yang dilaporkan bernilai lebih daripada AS$10 bilion dengan Scale AI, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam pelabelan data yang digunakan untuk melatih model kecerdasan buatan.

    Membandingkan Meta dengan syarikatnya, Altman berkata pada podcast ‘OpenAI mempunyai usaha yang lebih baik dalam menyampaikan superintelligence.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda