NEW JERSEY, 10 MEI – Satu objek logam dipercayai meteorit menembusi bumbung sebuah rumah hingga berlubang di tengah New Jersey minggu ini, terhempas ke lantai kayu keras dan melantun di sekeliling bilik tidur.
Keluarga yang memiliki rumah itu menemui batu hitam bersaiz kentang di satu sudut dan masih hangat.
Tiada sesiapa yang cedera dan tiada kerosakan serius pada kediaman itu, kata polis di Perbandaran Hopewell, utara ibu negeri Trenton.
Objek itu berukuran kira-kira 4 kali 6 inci dan berat kira-kira 1.8 kilogram, kata polis.
Suzy Kop, yang keluarganya memiliki rumah itu, berkata mereka pada mulanya menyangka seseorang telah membaling batu ke dalam bilik tidur tingkat atas pada Isnin, tetapi tidak lama kemudian menyedari ia bukan seperti yang disangka.
Keluarga itu merancang untuk bertemu dengan ahli astrofizik yang akan meneliti objek tersebut.
“Kami fikir ia adalah meteorit, datang ke sini, terkena lantai di sini kerana ia rosak sepenuhnya, ia memantul ke bahagian siling dan akhirnya berhenti di atas lantai di sana,” kata Kop kepada KYW-TV di Philadelphia.
“Saya menyentuh objek itu kerana menyangka ia hanya batu biasa, saya tidak tahu dan ia terasa panas.”
Kop berkata pegawai keselamatan datang ke rumah mereka untuk memeriksanya bersama keluarganya, memastikan mereka tidak terdedah kepada bahan radioaktif, tetapi pemeriksaan menunjukkan semuanya negatif. – AP