Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meterai PPA dengan Laos dan Thailand

    ASTANA, (KAZAKHSTAN) 13 Jun – Malaysia yakin menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Laos dan Thailand bagi Grid Tenaga ASEAN pada September tahun ini, sejajar dengan langkah untuk mengukuhkan bekalan tenaga.

    Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata projek perintis itu, yang dijangka bermula pada Januari 2018, akan membuka banyak peluang kepada Malaysia untuk mendapatkan tenaga boleh baharu (RE) dari negara jiran.

    “Kita yakin PPA, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Grid Tenaga ASEAN, akan dimeterai pada September tahun ini.

    “Beberapa loji jana kuasa berasaskan arang batu yang lama boleh menghentikan operasi dalam tempoh 30 tahun akan datang, menyediakan peluang kepada RE yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Tenaga Malaysia di sini hari ini.

    Datuk Seri Maximus Ongkili (kiri) menandatangani MoU bersama Timbalan Menteri Tenaga Kazakhstan, Gani Sadibekov semasa Forum Tenaga Malaysia yang bersamaan dengan Ekspo Astana 2017, pada 12 Jun – Bernama
    Datuk Seri Maximus Ongkili (kiri) menandatangani MoU bersama Timbalan Menteri Tenaga Kazakhstan, Gani Sadibekov semasa Forum Tenaga Malaysia yang bersamaan dengan Ekspo Astana 2017, pada 12 Jun – Bernama

    Grid Tenaga ASEAN adalah rangkaian tenaga yang menghubungkan grid nasional semua negara ASEAN untuk memastikan keselamatan tenaga, meningkatkan penggunaan sumber yang dikongsi dalam kalangan negara anggota dan menjadikan elektrik lebih murah untuk rakyat.

    Terdahulu, Ongkili, ahli panel forum itu, berkata ASEAN sebagai sebuah rantau perlu terus mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam berkongsi amalan terbaik melalui penggunaan dan pembangunan tenaga, untuk meningkatkan keberkesanannya dalam menghadapi cabaran global.

    “Pada 2013, tenaga elektrik yang dihasilkan oleh ASEAN daripada sumber RE menyumbang kira-kira 21 peratus daripada jumlah penjanaan rantau itu,” katanya.

    Forum Tenaga Malaysia adalah antara program yang dianjurkan oleh Malaysia di Ekspo Astana 2017 untuk mempamerkan kepimpinan pasaran sedang pesat membangun negara dalam pertumbuhan hijau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda