Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Methuselah ikan tertua dalam akuarium

    SAN FRANCISCO – Methuselah, ikan yang suka memakan buah tin segar dan digosok perutnya itu dipercayai merupakan ikan tertua yang hidup dalam akuarium di dunia.

    Menurut ahli biologi di California Academy of Sciences, Methuselah dipercayai berusia kira-kira 90 tahun, dengan tidak ada yang seumur dengannya yang diketahui masih hidup.

    Methuselah berukuran panjang empat kaki, dan seberat 40 paun merupakan spesies ikan yang dikenali sebagai Australian Lungfish. Ikan itu telah dibawa ke muzium San Francisco pada tahun 1938 dari Australia.

    Sebagai spesies primitif yang mempunyai insang dan paru-paru, Australian Lungfish dipercayai merupakan kaitan evolusi di antara ikan dengan amfibia.

    Tidak asing dengan publisiti, Methuselah pertama kali disaksikan di San Francisco Chronicle pada 1947: “Makhluk aneh ini – dengan sisik hijau seperti daun articok – dikenali oleh para saintis sebagai kemungkinan ‘kaitan yang hilang’ di antara haiwan darat dan akuatik.”

    Methuselah berukuran panjang empat kaki, dan berat 40 paun merupakan spesies ikan yang dikenali sebagai Australian Lungfish yang telah dibawa ke muzium San Francisco pada tahun 1938 dari Australia. – AP
    Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat Methuselah yang diletakkan di dalam tangki di San Francisco. – AP
    Kelihatan ahli biologi kanan, Allan Jan memberi makan Methuselah. – AP

    Sehingga beberapa tahun yang lalu, Australian Lungfish tertua berada di Shedd Aquarium di Chicago. Namun ikan tersebut, yang dipanggil sebagai ‘Granddad’, telah mati pada 2017 pada usia 95 tahun.

    “Oleh sebab itu, Methuselah menjadi yang tertua,” kata Allan Jan, ahli biologi kanan yang juga merupakan penjaga ikan tersebut.

    Para penjaga Methuselah percaya ikan tersebut adalah betina, meskipun begitu sukar untuk memastikan jantina spesies tanpa mengambil sampel darah yang berisiko. Akademi itu merancang untuk menghantar sampel kecil siripnya kepada para pengkaji di Australia,
    yang akan cuba memastikan jantina dan usia sebenarnya.

    Jan berkata Methuselah suka digosok pada bahagian belakang, dan perutnya serta mempunyai personaliti yang ‘lemah lembut’.

    “Saya memberitahu pada sukarelawan saya, anggaplah ia seperti anak anjing yang hidup dalam air, sangat lemah lembut, tapi sudah tentulah sekirannya ia terkejut ia akan mempunyai tenaga yang kuat. Tapi kebanyakan masa ia akan tenang sahaja,” kata Jan.

    Methuselah juga diketahui sangat menggemari buah tin yang bermusim.

    “Ia sedikit memilih dan hanya suka buah tin yang segar dan ketika musimnya. Ia tidak akan memakannya sekiranya ia sudah dibekukan,” kata Jeanette Peach, jurucakap bagi California Academy of Sciences.

    Akademi itu mempunyai dua ekor lagi Australian Lungfish yang lebih muda, keduanya dipercayai berusia 40an atau 50an kata Jan.

    Australian Lungfish kini dianggap sebagai spesies terancam dan tidak lagi boleh dieksport dari perairan Australia, oleh itu para ahli biologi di akademi itu percaya sekiranya Methuselah mati mereka tidak akan mendapat penggantinya.

    “Kami akan menjaganya sebaik mungkin dan berharap ia berumur panjang,” kata Jan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...