MEXICO CITY, 23 JULAI – Mexico sedang berusaha untuk menyegerakan penghantaran pulang 14 warganegaranya yang ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Claudia Sheinbaum kelmarin, lapor Xinhua.
“Setakat ini, seramai 14 rakyat Mexico telah ditahan dan segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan penghantaran pulang mereka disegerakan,” kata presiden itu semasa sidang media hariannya.
Pusat tahanan yang dikenali sebagai ‘Alligator Alcatraz’ di Everglades, negeri Florida, AS telah mendapat liputan meluas media, katanya.
“Nota diplomatik telah dihantar supaya rakyat Mexico diusir serta-merta dan tidak perlu menghabiskan masa di pusat ini,” tambah beliau.
Mengenai dakwaan bahawa pendatang yang ditahan semasa serbuan yang diarahkan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menerima layanan buruk di pusat tahanan itu, beliau berkata pegawai konsulat sedang menyemak sama ada hak asasi para tahanan telah dilanggar. – Bernama
