Saturday, February 8, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico bersedia hadapi letusan gunung berapi

    BANDARAYA MEXICO, 23 MEI – Kerajaan Mexico, kelmarin, mengumumkan beberapa langkah pencegahan selepas gunung berapi Popocatepetl mula mengeluarkan asap dan abu pada hujung minggu.

    Antara langkah pencegahan yang diumumkan itu termasuk penyediaan tempat perlindungan dan penempatan tentera, anggota keselamatan awam dan pasukan yang akan menguruskan pemindahan penduduk apabila keadaan memerlukan.

    Setakat ini, Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan mengeluarkan amaran peringkat kuning Fasa 3, lapor Agensi Anadolu.

    Gunung berapi Popocatepetl terletak di sempadan negeri Mexico, Puebla dan Morelos.

    Setakat Ahad lalu, sebanyak 573 letusan gunung berapi Popocatepetl telah direkodkan, 70 peratus daripadanya letusan kecil.

    Bagaimanapun, keadaan itu menyebabkan dua lapangan terbang antarabangsa di Bandaraya Mexico membatalkan penerbangan untuk hari ketiga berturut-turut. Syarikat penerbangan seperti Aeromexico mengumumkan pembatalan 46 penerbangan, kelmarin.

    Pihak berkuasa pendidikan turut mengumumkan beberapa sekolah di Puebla dan Tlaxcala ditutup.

    Terdahulu, dalam satu sidang media, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, berkata Kementerian Keselamatan dan Perlindungan Rakyat telah membentuk satu suruhanjaya untuk mengawasi kerja-kerja menyediakan tempat perlindungan dan laluan untuk membolehkan penduduk dapat dipindahkan dengan lancar. – Bernama

    Gunung berapi Popocatepetl memuntahkan abu dan wap seperti yang dilihat dari Santiago Xalitzintla, Mexico, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda