MEXICO CITY, 30 OKT – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mencadangkan agar Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tindakan bersama melibatkan tentera laut untuk menahan kapal mencurigakan, berbanding melancarkan serangan terhadap kapal di perairan antarabangsa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami tidak bersetuju dengan tindakan campur tangan seperti ini. Kami mempunyai model dan protokol yang terbukti berkesan. Jika AS mengesan kapal di perairan antarabangsa yang disyaki membawa dadah, tindakan akan diselaraskan dan sama ada Sekretariat Tentera Laut Mexico atau agensi kerajaan AS akan bertindak menahan suspek,” katanya pada sidang media kelmarin.
Menurut Sheinbaum, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Duta AS ke Mexico. Beliau menegaskan Mexico komited meneruskan usaha serta menambah baik protokol tindakan terhadap pengedar dadah, namun tidak akan membenarkan kedaulatan negaranya dicabuli dan menuntut supaya, “semua operasi bersama di laut mematuhi prosedur yang telah dipersetujui.”
Selasa lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengumumkan bahawa Pentagon telah melancarkan tiga serangan terhadap empat kapal yang disyaki membawa dadah di Pasifik Timur pada 27 Oktober mengakibatkan 14 maut dan seorang terselamat.
Serangan itu merupakan yang ke-13 disahkan sejak awal September, dengan keseluruhan 14 kapal disyaki musnah dan 57 orang terbunuh, sementara hanya tiga terselamat.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Pentagon meningkatkan kehadiran aset laut, udara dan darat di bawah Kawasan Tanggungjawab Komando Selatan AS (SOUTHCOM), yang menyelia operasi di seluruh Amerika Tengah dan Selatan sebagai sebahagian daripada operasi menentang pengedaran dadah dan keganasan. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti









