Friday, May 2, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico City kekal tuan rumah F1 hingga 2028

    MEXICO CITY, 1 MEI – Bandar raya Mexico City akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) sehingga tahun 2028 susulan perjanjian lanjutan kontrak yang dimeterai kelmarin.

    Ketua Eksekutif F1, Stefano Domenicali mengumumkan lanjutan itu sambil menyifatkan perlumbaan di Mexico City sebagai antara yang paling meriah dan bertenaga dalam kalendar kejohanan.

    “F1 melambangkan tenaga, semangat dan emosi dan setiap tahun suasana luar biasa yang dicipta oleh peminat di Mexico City merupakan antara pengalaman paling mengagumkan dalam kejohanan kami,” katanya.

    Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada pula menyatakan bandar itu sebagai ‘rumah kepada F1’, sambil menekankan impak ekonomi acara berkenaan.

    Menurutnya, Grand Prix Mexico City dijangka menjana pendapatan sebanyak 21 bilion peso (sekitar AS$1.1 bilion) pada tahun 2025.

    Aksi pemandu Ferrari dari Monegasque, Charles Leclerc semasa Grand Prix Mexico City di litar lumba Hermanos Rodriguez, di Mexico City pada 27 Oktober 2024. – AFP

    “Grand Prix Mexico City bukan sahaja menarik peminat sukan permotoran, malah turut merangsang ekonomi tempatan, memperkukuh infrastruktur pelancongan dan memupuk rasa bangga dalam kalangan rakyat,” katanya.

    Litar Autodromo Hermanos Rodriguez yang terletak lebih 2,200 meter pada paras laut memberikan cabaran unik kepada pasukan, terutamanya dari aspek sistem turbo, penyejukan dan brek serta memberikan daya seretan yang kurang.

    Mexico City kembali menjadi hos Grand Prix pada 2015 selepas dibatalkan selama 23 tahun dan perlumbaan edisi tahun ini dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda