Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico City tamatkan usaha menyelamat

    MEXICO CITY, 5 Okt – Mexico City kelmarin menghentikan operasi mencari mangsa yang terselamat di sebuah bangunan yang terlibat dalam kejadian gempa bumi sekuat 7.1 magnitud pada 19 September, selepas pekerja penyelamat mengeluarkan mayat lelaki dari bangunan pejabat itu.

    Penasihat Mexico bagi hak asasi manusia, Roberto Campa, mengumumkan penghujung usaha menyelamat selepas mangsa terakhir ditemui mati di bawah runtuhan bangunan pejabat di kejiranan pusat Roma.

    Selama dua minggu yang lalu, anggota penyelamat dari seluruh dunia telah menjalankan operasi itu di Alvaro Obregon, dengan 49 mayat ditemui dalam runtuhan berkenaan.

    “Tugas itu selesai, semua mayat ditemui dan diserahkan di Alvaro Obregon, seperti yang disahkan oleh keluarga mereka,” kata Campa di Twitter.

    Bangunan itu adalah satu-satunya daripada 38 bangunan yang runtuh di Mexico City di mana usaha menyelamat masih berjalan.

    “Ini tempat terakhir, Alvaro Obregon, tidak ada lagi operasi pencarian bagi mangsa yang terselamat … tidak ada lagi mereka yang hilang belum ditemui,” kata datuk bandar Mexico City, Miguel Angel Mancera dalam temu bual di televisyen.

    Menurut Mancera, Mexico City menyaksikan 228 kematian dengan jumlah keseluruhan seramai 369 di seluruh negara.

    Seramai 74 orang meninggal dunia di Morelos, 45 di Puebla, 15 di Negeri Mexico, enam di Guerrero dan seorang di Oaxaca.

    Tugas-tugas kini akan memberi tumpuan untuk membersihkan serpihan daripada runtuhan di kawasan gedung-gedung dan menghindari sebarang kejadian runtuhan yang mungkin berlaku. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda